Dari Sungai Ke Segora, Palestin akan Merdeka! Ameennnn
![]() |
Inilah rupa tudung itu lebih kurang. Tapi banyak lagi untaian maniknya. Zaman kami bersekolah rendah. |
Di sebuah kampung kecil yang damai, aku ada seorang sahabat baik. Namanya Nur. Dia seorang yang lembut, penyayang, dan suka menolong. Kami mengaji bersama, bermain bersama, bersekolah bersama dan berkongsi suka duka bersama.
Nur bukan sahaja baik, tetapi dia juga suka melihat orang lain gembira. Bagi Nur, kebahagiaan kawan-kawannya lebih penting daripada dirinya sendiri.
Hari itu, dia datang dengan tudung baru.
Tudungnya cantik, dihiasi dengan manik-manik berkilauan di sekelilingnya. Bila dia melangkah masuk ke tempat mengaji, semua mata tertumpu padanya.
“Wah, Nur! Cantiknya tudung awak!” kata kami semua, teruja melihat kilauan manik yang bersinar apabila terkena cahaya lampu surau.
Nur tersenyum malu-malu. “Baru beli”, katanya, sambil membetulkan lipatan tudung di bahunya.
Kami menghampiri, jari-jemari kecil kami menyentuh perlahan manik-manik halus yang dijahit kemas di tepi tudung itu. Cantik, sangat cantik!
“Kamu suka?” tanya Nur, matanya bersinar.
“Suka! Manik-manik dia cantik sangat!” jawab kami serentak.
Nur tersenyum lebar. Dia pandang kami satu persatu, sebelum berkata sesuatu yang mengejutkan kami.
“Kalau kamu semua suka, ambillah!”
Kami terdiam.
“Ambil?” tanyaku, tidak percaya dengan apa yang baru didengari.
“Ya! Ini tudung aku. Aku pakai tudung. Jadi kalau kamu suka, ambillah manik-maniknya,”katanya dengan gembira.
Kami saling berpandangan, teragak-agak. Tapi bila Nur angguk dan hulurkan tudungnya, perlahan-lahan, kami mula mengambil satu demi satu manik itu.
Manik pertama aku ambil.
Manik kedua diambil oleh Siti.
Manik ketiga diambil oleh Hana.
Manik keempat, kelima, keenam .. semuanya satu demi satu kami ambil.
Nur hanya ketawa kecil melihat kami teruja. Dia gembira kerana dapat menggembirakan kami.
Tapi kami tak sedar.
Saat semua manik telah hilang dari tudungnya, tudung itu tidak lagi secantik tadi. Yang tinggal hanyalah benang-benang halus yang tergantung di tepi. Tudung yang sebelum ini bersinar kini kelihatan kosong dan lusuh.
Nur masih tersenyum. Tapi kami mula rasa bersalah.
Selepas habis mengaji, Nur balik ke rumah seperti biasa. Kami pun pulang ke rumah masing-masing, tapi dalam hati ada sesuatu yang terasa tak kena.
Malam itu, di kampung kecil kami, suara seorang ibu bergema.
“Nur! Kenapa tudung kamu jadi macam ni?!”
Kami tersentak. Itu suara ibu Nur.
Esoknya, Nur datang ke tempat mengaji dengan wajah tunduk. Kami tahu dia kena marah teruk di rumah. Tudungnya masih tudung yang sama, tapi kali ini tanpa manik-manik yang berkilauan.
Kami rasa bersalah. Kami tidak sepatutnya mengambil manik-manik itu. Walaupun Nur gembira memberikannya kepada kami, tapi akhirnya dia sendiri yang menanggung akibatnya.
“Maafkan kami, Nur”. kata kami perlahan.
Kami cuba memulangkan kembali manik-manik itu. Kami cuba susun kembali di atas tudungnya, tapi ia takkan pernah sama lagi.
Walaupun manik itu dikembalikan, tudung itu tetap tidak kembali seperti asalnya.
Namun, persahabatan kami tetap utuh.
Kami membesar bersama. Kenangan manik-manik itu tetap kami simpan sebagai pengajaran. Kadang-kadang, dalam menggembirakan orang lain, kita tidak sedar kita kehilangan sesuatu yang berharga.
Tapi bagi Nur, itu bukan kehilangan.
Kerana baginya, persahabatan lebih bernilai daripada sehelai tudung dan beberapa butir manik yang berkilauan.
Dan hingga hari ini, setiap kali kami melihat tudung yang dihiasi manik-manik cantik, kami akan teringat Nur.
Sahabat yang selalu ingin melihat sahabatnya gembira.
Kini, Nur bukan lagi sekadar sahabatku.
Dia telah menjadi sebahagian daripada keluargaku.. isteri kepada adik sepupuku.
Siapa sangka, budak perempuan kecil yang dulu rela menyerahkan manik-manik tudungnya untuk menggembirakan kami, kini tetap berada dalam hidupku bukan sekadar sebagai sahabat, tetapi sebagai keluarga.
Kami membesar bersama, berkongsi suka duka, dan kini menua bersama.
“Kita tua bersama, ya, Nur”.
Manik-manik itu mungkin hilang, tapi kasih sayang dan persahabatan kekal bersinar.
11 ulasan:
Susah nak jumpa orang macam ni. Satu dalam seribu.
cantiknya manik tu ..
wah,,,memori sgt...deep
Indahnya persahabatan begini
Baiknya hati Nur.. Dari sahabat bertukar menjadi sebahagian daripada keluarga.
Mendalam kisahnya... Semoga kekal ukhuwahnya
Dulu2 jahit manik kat baju. Siap beli pelbagai manik lagi.
Pandainya pilih judul... jeles uncle!
baiknya Nur... moga Allah pelihara hubungan kalian
Terbaik la akhlak dia...kalau saya orang yang mencari jodoh...maka insan yang ada akhlak begitu amat patut dijadikan isteri....semoga anak-anak yang lahir nanti punyai akhlak terpuji sedemikian
Terharuuu sangat. Sahabat dari kecil, lalu menikah dengan sepupu. Semakin kuat pastinya hubungan persaudaraan kakak dengan nur. Jarang sekali hubungan sahabat yg bisa bertahan sangat lama seperti ini 😍
Catat Ulasan