Dari Sungai Ke Segara, Palestin Pasti Merdeka! Ameennnn..
Anakku, Ibu Tidak Menyerahkan Kamu kepada Peperangan, Tetapi kepada Perjuangan.
Fateemah, Ibraheem..
Anakku, ibu tahu hatimu bergetar ketika ibu berbicara tentang Gaza, Palestin, dan perjuangan.
Ibu tahu ada ketakutan yang tersembunyi dalam setiap pertanyaanmu “Ibu tak sayang kami ke?”
Ibu tersenyum. Bukan kerana soalan itu ringan, tetapi kerana ibu tahu, sebuah pemahaman sedang tumbuh dalam hatimu.
Anakku, ibu tidak menginginkan kematian kamu.
Tiada ibu dan ayah di dunia ini yang ingin melihat anaknya gugur dalam perjuangan.
Tetapi ibu mahukan hidup kamu punya erti.
Ibu tidak meminta kamu menjadi tentera yang mengangkat senjata. Ibu meminta kamu menjadi pejuang.
Pejuang tidak semestinya di medan perang, menembak musuh dengan peluru. Pejuang boleh menjadi doktor yang menyelamatkan nyawa, jururawat yang membalut luka, cikgu yang mendidik jiwa, tukang masak yang memberi tenaga kepada mujahidin, atau jurutera yang mencipta teknologi mempertahankan tanah air, serta para wartawan yang menghebah dan merekodkan berita.
Tetapi andai takdirnya kamu perlu berjuang dengan senjata, ibu mahu kamu bersedia.
Anakku, ibu tidak akan pernah menyerahkan kamu kepada peperangan, tetapi kepada perjuangan.
"Mati itu pasti"
Tetapi bagaimana kita mati, itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.
Jika kita mati hanya kerana mengejar dunia, apakah ertinya? Tetapi jika kita mati kerana berjuang untuk agama, itulah sebaik-baik kematian.
Namun, perjuangan bukan hanya di tanah Gaza.
Di mana ada penindasan, di situlah perlunya pejuang.
Di mana ada kezaliman, di situlah mesti ada yang bangkit membela.
Jika kamu tidak mampu ke medan perang, kamu masih boleh berjuang dengan pena, ilmu, harta, dan doa.
Tangan kamu mungkin tidak menggenggam senjata, tetapi tulisanmu boleh menjadi api yang membakar semangat umat.
Suaramu mungkin tidak bergema di medan perang, tetapi doamu boleh menggoncang langit.
Ibu tidak tahu di mana bumi yang akan memanggil kamu nanti,
Tetapi ibu mahu kamu menjadi manusia yang apabila Allah tanya, “Apa yang kamu lakukan untuk agama-Mu”, kamu ada jawapannya.
Maka, didiklah hati kamu untuk menjadi cekal.
Didiklah diri untuk sentiasa bersedia dengan ilmu, tenaga, dan jiwa yang kuat.
Ibu hanya mahu kamu menjadi orang yang mulia di sisi Allah.
Dan andai suatu hari nanti, nasibmu adalah menjadi seorang pejuang, ketahuilah ibu akan sentiasa bersamamu, dalam doa yang tak pernah putus.
Kerana kamu bukan hanya anak ibu.
Kamu adalah anak kepada sebuah perjuangan.
7 ulasan:
Cabaran pada dunia akan datang lebih hebat lagi...saya risau juga jika hati anak-anak muda tidak sekuat hati kita
seorang ibu sentiasa mahukan yg terbaik utk anak2nya..
Moga semua dipermudahkan dan dipelihara.
Moga anak2 kita menjadi anak2 yang cemerlang dunia akhirat dan dapat berbakti kepada ugama, bangsa dan negara.
kehidupan itu satu perjuangan. paling dekat adalah perjuangan menentang hawa nafsu sendiri... insya allah jika berjaya yang ni maka perjuangan yg lain2 dpt dilaksanakan dgn baik..
Memang hari-hari pun kena berjuang. Lawan hawa nafsu sendiri, lawan bisikan syaitan. Semoga kita semua kuat. Amin.
Palestin pasti akan bangkit suatu hari nanti..
Catat Ulasan