Rabu, 18 Disember 2024

Syahidnya Syeikh Khalid Nabhan - 16 Dis 2024

Hakikat Sebuah Peperangan

Kematian demi kematian di bumi Gaza.. 

Kini Syahidnya seorang Datuk yang dipenuhi kasih sayang, al Syahid Syeikh Khalid Nabhan.

Nyawa diragut dengan kejam.

Beliau seorang lelaki Palestin yang penuh sabar dan tabah.

November 2023, beliau kehilangan dua cucu kesayangannya – Reem dan Tareq, dalam peperangan yang tidak berpenghujung. 

Mendakap tubuh kecil cucunya yang sudah tidak bernyawa. Wajahnya tenang, walau hatinya pasti hancur luluh. “Allah lebih tahu. Allah lebih sayang.”

Dan Isnin lalu, 16 Disember 2024, beliau sendiri syahid. Kawasan perkhemahan mereka dibom oleh tentera Yahudi laknatullah.

Syeikh Khalid bukan sekadar seorang lelaki tua di Gaza. Beliau adalah simbol harapan, guru kesabaran.

Di saat dirinya berdepan dengan kematian, beliau masih memberi. Masih menjaga anak-anak kecil yang kehilangan keluarga. Masih memberi makan kepada kucing-kucing yang kelaparan. 

Dalam dunia yang begitu rakus meragut kasih sayang, beliau tetap mencurahkannya, seolah-olah ingin memberitahu dunia bahawa manusia masih punya hati.

Melihat gambarnya, sama ada bersama cucu yang riang atau mendakap tubuh yang sudah kaku, air mata ini tumpah tanpa sedar.

Beliau adalah simbol keseluruhan rakyat Gaza yang tidak pernah menyerah dan mereka tidak akan sesekali menyerah kepada kaum Laknatullah. Lambat laun akan tiba masanya mereka akan dihumban dalam kencah kehinaan.

Kini beliau kaku dan sepi. Tapi wajah itu masih tenang dengan senyuman. Di sisi Allah, perjuangannya sudah selesai. Tiada lagi bom, tiada lagi derita. Beliau mungkin sudah bahagia bersama cucu-cucu dan saudara yang terlebih awal pulang menghadapNya.

Aku hanya seorang wanita biasa, yang punya hati halus, dan yang jauh dari tanah Gaza. Aku tidak mampu berbuat apa walaupun rasa pedih itu menusuk ke dalam jiwa. 

Sampai bila? 

Sampai bila nyawa akan diragut sebegini rupa?

Ya Allah, hentikanlah kezaliman ini. Kuatkan hati-hati mereka di sana, yang akan dan sentiasa bertahan dalam perjuangan selagi Allah tidak 'selesaikan'.

Tempatkanlah Syeikh Khalid Nabhan, cucu-cucunya, dan seluruh syuhada di syurga-Mu yang tertinggi. Amin.

Jangan biarkan kisah mereka hilang ditelan masa. 

Kerana di sana, di bumi Gaza, ada manusia yang mengajar kita erti sebenar sabar dan redha.

Aku akan tetap pertahankan Gaza dan saudara kita di sana dengan caraku. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...