Khamis, 19 Disember 2024

Menjadi Ibu Adalah Sebuah Perjuangan

Seawal pagi, seorang ibu sudah mula bertarung – bukan dengan dunia luar, tetapi dengan dirinya sendiri. Menahan emosi, bersabar mengejutkan anak-anak untuk bangun solat Subuh dan bersiap ke sekolah. 

Dengan pelbagai ragam dan karenah yang perlu dihadap, sabar itu menjadi teman setia. Walaupun kadang-kadang selalu kecundang dengan pelbagai emosi sendiri. Apa jua emosi yang bertandang, anak perlu dikejutkan dan tetap perlu ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan. 

Setiap waktu solat, dari Subuh hingga Isyak, tanggungjawab seorang ibu tetap sama: memastikan anak-anak bersiap dan menunaikan solat pada waktunya. 

Waktu Maghrib, terutamanya adalah saat paling mencabar. Masa yang singkat menuntut disiplin, dan seorang ibu perlu tegas dalam mendidik, walau hatinya sering berperang dengan rasa penat. 

Kadang terpaksa mengeluarkan kata-kata kasar sebagai peringatan walaupun sebenarnya tidak dibenarkan, tetapi seorang ibu juga seorang manusia yang sentiasa berjuang dengan perasaan. Kami tidak sempurna untuk menjadi terlalu baik dan sentiasa baik.

Tidak cukup dengan itu, ibu juga memikul amanah memastikan anak-anak mengaji. Menyuruh mereka duduk, mengajar dengan sabar, walaupun kerap kali suara ibu yang penuh kasih ini seolah-olah tidak didengari walaupun sudah mengeluarkan suara harimau.

Dalam mendidik ilmu dunia pula, ibu sentiasa memastikan anak-anak mengulang kaji pelajaran, menemaninya sehingga mereka benar-benar faham. 

Semua ini memerlukan ketahanan jiwa dan mental yang luar biasa. Beginilah seorang ibu yang sedang menulis ini. Kadang-kadang ingin sekali membiarkan tetapi kata hati melarang, anak-anak perlu dipasti berpelajaran. Walaupun suara kedengaran sehingga ke jiran halaman.

Belum masuk bab-bab lain: mengingatkan mereka makan, mandi, membasuh pinggan, menyusun pakaian, mengemas bilik, dan menyelesaikan tugas-tugas kecil yang sepatutnya dipikul sendiri oleh anak-anak. 

Namun, ibu tetap di situ, memastikan semuanya dilakukan, dengan harapan anak-anak membesar menjadi insan yang terdidik dan berpandu. Dugaannya hanya Allah sahaja yang tahu.

Kata orang, menjaga anak itu sukar, dan benar sekali. Ia tidak sama seperti menjaga ternakan, yang hanya perlu diberi makan, minum, dan tempat berteduh. 

Seorang ibu perlu mendidik, membimbing, dan mengasuh, bukan hanya fizikal, tetapi juga jiwa dan akhlak anak-anaknya.

Seorang ibu berjuang tanpa henti, dari celik mata di awal pagi hingga menutup mata di malam hari. Dan begitulah perjuangan ini berlangsung setiap hari – sehingga tiba masanya ibu dipanggil menghadap Ilahi untuk dihisab atas amanah yang telah diberikan.

Kadang-kadang terfikir aku tidak layak untuk bergelar seorang ibu, ingin sekali menitipkan anak kepada yang sanggup memberi pendidikan dan pelajaran. Sebab hati kadang-kadang terlalu rapuh untuk melalui tekanan.

Tetapi hakikatnya, ibunya sendirilah sebenarnya pendidik yang paling baik dan paling bagus untuk anak yang dikandungnya. Tiada ibu lain yang mengajar dengan kasih sayang walaupun garang. 

Kata-kata seorang ibu itu suatu doa.. tetapi kadang-kadang ia tersasar juga. 

Bila aku penat, aku akan kuatkan hati.. aku mendidik untuk mereka menjadi pejuang, hati perlu kental. 

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk mendidik anak-anakku sebagai pejuang.. kuatkan hati mereka, emosi mereka untuk melaluinya. Berilah mereka akal yang pintar dan badan yang sihat. 

Aku mendidik bukan hanya sekadar mereka dapat nombor satu dalam kelas, dapat A setiap matapelajaran, mempunyai disiplin tinggi.. tetapi aku mendidik dan mengharap mereka boleh bagi sesuatu kepada Agama, Bangsa, Negara dan Dunia.. 

Mereka pembela kepada keganasan, dan ketidak adilan dunia. Supaya mereka tidak jadi seperti aku yang hanya mampu melihat ketidakadilan dan kekejaman dunia dengan air mata.

Aku mendidik kepada generasi pelapis negara. Aku harus dan perlu kuat. Ya Allah, bantulah aku dalam mendidik anak-anakku. Berilah kekuatan kepada ibu-ibu lain dan para pendidik dalam menjalankan amanah masing-masing. Hanya kepadaMulah aku berserah.


p/s : duhai anak, buatlah sehabis baik yang kalian boleh lakukan.. kita hidup bukan sekadar hidup.. hidup ini dipenuhi dengan amanah yang harus kalian pikul.. dan ibu serta abi hanya membantu kalian menempuhi takdir dan ujian kalian sendiri. Apa yang kita sedang lalui dan berhadapan ini adalah takdir untuk kita. Kita hanya perlu buat sehabis baik berdasarkan keupayaan kita. Dan itu sebagai jambatan kita ke SyurgaNya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...