Khamis, 26 Disember 2024

Rindu Rumah Kecil Itu

Gambar Ihsan Google

Ada waktunya, dalam sunyi malam atau kala hujan turun membasahi tanah, aku terkenang rumah kecil itu. Ingatan yang samar sahaja yang tinggal di peringkat usiaku sekarang.

Rumah yang kini hanya tinggal dalam ingatan, berdiri di bawah lembah hijau, di atas tanah sawah yang subur dan berlumpur. Setiap kali hujan, hanya air saujana mata memandang. Indah nian.


Rasanya seperti semalam aku masih berlari-lari kecil di jambatan kayu sempit itu, mendengar derai tawa adik-beradik, dan menghirup udara pagi yang dipenuhi bau segar embun dan tanah basah.


Rumah kecil kami, berdindingkan papan berlubang yang angin bebas menerobos masuk, bertiang pendek. Tersandar pada alam yang sederhana tetapi memukau. 


Ia bukan rumah besar, jauh sekali gah, tetapi cukup untuk kami sekeluarga berlindung daripada panas terik dan hujan lebat.


Di depannya, ada beranda kecil setinggi sepuluh kaki dari tanah, dibuat dari kayu-kayu sisa yang berlubang. Jika tersalah pijak, kaki akan terpelosok ke bawah.


Beranda itu, walaupun usang, adalah tempat kami berdiri setiap pagi, memandang dunia yang tak pernah berubah—sawah padi yang terbentang luas di hadapan, saujana hijau hingga ke kaki bukit megah di kejauhan. Bukit Besar.


Jalan kampung yang memisahkan rumah kami dari sawah itu lebarnya hanya sedepa tangan dewasa. Tidak banyak kenderaan yang lalu, hanya basikal tua atau kadangkala motosikal, dan suasana sekitarnya sering tenang. 


Pokok-pokok besar di kiri kanannya berdiri teguh, seakan-akan memayungi laluan itu, melindunginya dari panas matahari. Pokok-pokok buluh dan senduduk memagari sepanjang jalan.


Rumah kami seperti sebuah pulau kecil, terutama bila hujan turun tanpa henti. Air akan bertakung di sekelilingnya, separas pinggang orang dewasa menjadikan jambatan kayu yang Bak bina satu-satunya laluan keluar. 


Jambatan itu tidak lebar, hanya dua papan yang sempit, tetapi cukup untuk kami melangkah berhati-hati. Di kiri kanan jambatan, Bak tanam pokok tebu dan jagung. 


Bila tiba musimnya, kami akan memetik hasilnya bersama-sama. Aku masih ingat betapa manisnya tebu yang Bak hiris kecil-kecil, disuakan kepada kami dengan senyuman lelah tetapi puas. 


Kenikmatan tebu itu masih terasa sehingga sekarang. Berebut-rebut makan dengan KakHa dan KakNa. Adinda Ani masih di ribaan. Ingatan aku tentangnya sangatlah tipis.


Di sebelah kanan jambatan, ada telaga tua dengan pam air, tempat kami mandi dan menimba. Bersebelahan telaga itu, berdiri 'baloh padi' tempat Tokki, Bak, dan Poksumak menyimpan hasil padi dari bendang. 


Di bawah baloh, Tok memelihara beberapa itik air. Petang-petang, aku dan Kakna menggiring itik-itik itu kembali ke reban sambil menyanyi kecik.. ingat-ingat lupa aku tentang irama lagunya.. cuma bunyinya "gok gok gok gok gok gok..." sambil ketawa kecil melihat tingkah laku itik-itik yang berebut masuk ke reban.


KakNa mengepalai itik-itik ke reban sambil membawa sebesen makanan dan aku mengekori itik dari belakang sambil membawa "rebe" untuk memastikan semua itik beratur masuk ke reban.


Sebelah kiri jambatan pula, ada pangkin usang yang menjadi tempat bermain. Di pangkin itu, kami bersila, menyusun bunga-bunga yang Kakha tanam di sekelilingnya. Dan aku serta teman-teman suka kutip bunga untuk bermain masak-masak. 


Kakha suka bunga, dan aku tahu, dia menanamnya untuk membawa sedikit warna ke dunia kecil kami yang sederhana.


Indah. Tanaman bunga kami terus ke tanah atau dalam tin. Tiada lagi pasu, dan pokok-pokok bunga KakHa merimbun tumbuh dengan subur tanpa kekangan dari pasu.


Lebih jauh sedikit dari pangkin, ada busut tinggi, tempat kami bermain sembunyi-sembunyi. Di atas busut itu tumbuh pokok nyior, pokok dala, dan pokok bunga tanjung. 


Setiap pagi, aku dan Kakna mengutip bunga tanjung yang gugur, menggubahnya menjadi hiasan sanggul. Kadang-kadang kami berkongsi dengan TokTeh untuk disusup ke dalam sanggulnya yang kecil dan memutih. Wangi.


Aku selalu mengikat dan menyusun bunga-bunga yang dijalin ke rambut ekor kudaku, kadangkala aku membayangkan diriku seorang puteri, meskipun pakaian kami hanya baju lusuh dan kaki penuh lumpur.


Di belakang pangkin, ada bangsal tempat menyimpan kayu api. Kayu-kayu itu adalah nadi dapur kami, yang Che gunakan untuk memasak makanan yang sederhana tetapi cukup untuk mengisi perut kami yang sering lapar. 


Jika mahu makan ikan, kami turun ke bendang, menangkap ikan keli, ikan sepat, atau ikan haruan dengan tangan sendiri. Kadangkala, kami kutip ubi dan pucuk sayur dari semak berhampiran untuk melengkapkan hidangan. Telur itik, telur ayam juga kami kutip hasil 'pemberian' ayam dan 'itik belaan.


Kadang-kadang Che beli ikan dengan pengayuh basikal yang membawa pelbagai jenis lauk dan makanan yang kami panggil Pok E'ik.


Rumah kecil kami penuh dengan bunyi—kokok ayam di waktu pagi, suara itik di bawah baloh, dan tawa kami adik-beradik. Diselangi bunyi burung-burung dalam sangkar belaan Bak.


Di sekelilingnya pula, ada kucing-kucing liar yang selalu datang meminta makan, burung-burung kecil yang hinggap di dahan, dan angin lembut yang membawa aroma tanah sawah.


Kini, rumah itu telah tiada. Sawah telah bertukar menjadi kawasan perumahan, dan jalan kecil itu sudah melebar menjadi jalan besar. 


Setiap kali aku memandang ke laman, hanya memandang dengan hiba. Tiada lagi ketenangan di hati. Bangunan dibina tanpa ada nanti. Satu persatu sehingga tiada lagi kelihatan pokok-pokok menghijau. 


Tetapi dalam hatiku, rumah kecil itu tetap hidup, bersama kenangan indah yang menghidupkannya. Aku sering rindu pada waktu itu—masa di mana hidup serba sederhana, tetapi hati penuh dengan rasa cukup dan kasih sayang.


Aku rindu pada waktu kecilku. Rumah kecilku di lembah kenangan. Dan rindu itu, seperti jambatan kayu sempit yang Bak bina, menghubungkan aku dengan masa lalu yang tidak akan pernah kembali, tetapi akan sentiasa aku syukuri.


__


Inagatan ini sekitar usia aku lingkungan 3/4 tahun.. sangat sukar untuk mengimbau kembali. Kenangan ini masih kuat jika dibandingkan ingatan setelah aku sakit.


5 ulasan:

Mama Zharfan berkata...

Alhamdulillah kerana kita semua mempunyai memori zmn lampau yg manis2 dan indah2...esp zmn kita kecik kan...

nohas berkata...

tmpt jatuh lg dikenang, inikan pula tempat bermain....gambaran kenangan masa kecil yg menggembirakan...masakan guna dapur kayu mmg sedap...

uncle gedek berkata...

Bak kata pepatah... Tempat jatuh lagi di kenang....

Salina@IbuAqil berkata...

Kenangan yg plg berharga

Warisan Petani berkata...

teringat jaman bersawah padi masa kecik2 dulu, ada pondok kecil untuk berehat, makan bekal dan tertidur

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...