Dari Sungai Ke Segara… Palestin Merdeka! Ameennnn…
Petang itu, Baem pulang dari sekolah dengan penuh semangat. Beg sekolahnya masih tersandang di bahu, tetapi mulutnya yang becok lebih laju dari langkahnya.
“Ibu! Gigi adik goyang!!” jeritnya sambil berlari ke dapur, tempat ibu sedang memasak untuk berbuka petang nanti.
Ibu berpaling dan tersenyum. “Mana? Ibu nak tengok!”
Baem membuka mulut luas-luas, menunjukkan gigi kecilnya yang sudah longgar. Ibu menyentuh perlahan, terasa memang dah goyang betul!
“Wah, ni dah nak cabut ni! Mari ibu tarik!” kata ibu, sengaja mengusik.
Baem terus menutup mulut rapat-rapat. Matanya membulat. “Tak nak! Tak nak!” katanya sambil menggeleng laju.
“Macam Upin Ipin!”
Tak lama selepas itu, kakaknya pulang dari sekolah. Baru saja melangkah masuk, Baem terus meluru dengan penuh keterujaan.
“Kakak! Gigi adik goyang macam Upin Ipin!” katanya bangga.
Kakak yang lebih berpengalaman dalam urusan gigi susu ini mengangkat kening. “Ohh, baguslah! Mari kakak tolong cabutkan! Kakak seronok kalau dapat cabut gigi adik.”
Terus Baem menekup mulutnya dengan dua tangan. “Tak nak!” Sambil berlari-lari meninggalkan kakaknya.
Kakak gelak. “Kalau takut, godek-godek dengan lidah tu! Lama-lama tercabut sendiri.”
Baem cuba, tapi perlahan-lahan. Takut juga kalau tiba-tiba giginya betul-betul tertanggal!
Tiba-tiba dia ada idea. “Kakak cabut masa adik tidur, macam Kak Ros cabut gigi Upin!” katanya bersungguh.
Kakak ketawa sampai tepuk dahi. “Boleh, malam ini kakak cabutkan”.
🍀🍀🍀
Hari berlalu, gigi Baem semakin goyang. Ibu geram tengok, rasa nak tarik je bagi cepat selesai. Tapi Baem tetap takut.
Sampailah hari ini, selepas mandi, ibu berikan jemput-jemput pisang yang tak habis berbuka semalam.
Sedikit keras dan liat. Baem makan dengan penuh nikmat, sambil melompat- lompat kecil.
Sebelum dia keluar rumah untuk bermain.. dia ke dapur untuk meminta izin keluar.
Ibu, Adik nak gi main.”
Ibu berpaling ke arahnya dan tiba-tiba…
“Adik! Mana gigi?!”
Baem terhenti. “Hah? Gigi?” Dia cepat-cepat mengorek-ngorek mulutnya dengan jari. Kosong.
Mata ibu membesar. “Gigi adik dah hilang!”
Baem masih keliru. “Eh? Hilang ke?”
Ibu mengangkat kening. “Adik makan dengan jemput pisang tadi ke?”
Baem mengangguk. Matanya membulat.
“Haaa, adik makan gigi sendiri!” kata ibu sambil menahan ketawa.
“Gigi Adik Jadi Apa?!”
Tak lama selepas itu, kakaknya pulang dari sekolah. Baru sahaja buka kasut, Baem terus meluru kepadanya.
“Kakak! Gigi adik dah hilang! Adik makan gigi adik!”
Kakak tersentak. “Hah?! Macam mana ni? Nanti gigi adik dalam perut macam mana?!”
Baem tiba-tiba risau juga. “Nanti gigi adik jadi apa, ibu?”
Ibu yang dari tadi menahan ketawa akhirnya bersuara.
“Takpe… nanti jadi tahi je.”
Senyap sekejap.
Kemudian, Baem dan kakaknya ketawa berdekah-dekah!
“Hahaha! Gigi adik jadi tahi!” Baem melompat-lompat gembira.
Masalah gigi goyangnya selesai tanpa sakit, tanpa cabut, tanpa tangisan—hanya dengan seketul jemput pisang!
Tak sabar-sabar nak bercerita pada Abi 😂😂😂🤣
TAMAT 😆✨
Tiada ulasan:
Catat Ulasan