"Aku tak akan jadi macam mak ayah aku."
Berapa ramai antara kita yang pernah mengucapkan kata-kata ini?
Mungkin ketika kita sedang bersendirian, menangis di dalam bilik, atau sewaktu berbual dengan rakan yang memahami kisah hidup kita.
Tapi pernahkah kita berfikir - kenapa ibu bapa kita jadi seperti itu?
Jom kita berterus terang.
Ada di kalangan kita yang membawa luka emosi yang sangat dalam. Luka yang tak kelihatan pada mata kasar, tetapi berdarah di dalam jiwa.
- Seorang anak yang didera secara s3k3ual oleh ayahnya sendiri
- Seorang anak yang ditinggalkan kerana ibunya memilih lelaki lain
- Seorang anak yang "sempurna" dari luar, tetapi hancur di dalam
Bagi yang membesar dalam keluarga bahagia, ini mungkin kedengaran seperti plot drama atau filem. Kita rasa tak logik dan tak mungkin terjadi.
Tapi bagi sesetengah daripada kita, ini adalah realiti yang mereka hadapi setiap hari.
Bayangkan satu bekas kaca yang retak. Setiap kali air dituang ke dalamnya, air itu akan mengalir keluar melalui retakan yang sama. Begitulah trauma antara generasi.
Selagi belum ada yang mengambil keputusan untuk menampal dan membaiki keretakan itu, selagi itu bekas akan terus bocor.
Ambil contoh kisah Daus. Watak fiksyen, tetapi simptom dialami itu memang 'real' dan ramai alami.
----
Sejak Daus masih bersekolah, dia selalu tertekan apabila melibatkan prestasi. Setiap kali pulang dengan keputusan peperiksaan, jantungnya berdegup kencang.
Bukan kerana markah yang tertera di kertas itu, tetapi kerana kata-kata yang bakal didengari dan menusuk hatinya.
"Tengok anak Mak Cik Minah tu. Dapat semua A. Kau ni kenapa tak boleh macam dia?"
"Kenapa 94% je? Mana lagi 6 peratus tu?"
"Kau ini selalu malukan mak ayah. Menyusahkan hidup je."
Dia mungkin senyap saja menerima kata-kata sebegitu. Tetapi dalam diam, ia melekat di jiwa dan dibawa sehingga ke dewasa. Sehingga dia berdendam dengan zaman kanak-kanaknya.
Bertahun-tahun kemudian, Daus akhirnya faham.
Ibunya juga pernah duduk di kerusi yang sama, mendengar kata-kata yang sama dari datuknya. Sebab ayat yang hampir sama dia dengar, apabila balik ke kampung raya tahun lepas.
Kitaran luka emosi ini sudah bermula jauh sebelum kelahirannya.
Memaafkan ibu bapa yang telah melukakan kita bukanlah seperti memadam fail dari komputer - tekan delete dan semua hilang. Tidak.
(alangkah indahnya hidup kalau begitu kan?)
Memaafkan adalah proses memahami bahawa mereka juga adalah mangsa kepada kitaran yang sama. Mereka juga pernah menjadi kanak-kanak yang terluka, yang membesar tanpa blueprint parenting yang sihat.
Sampai bila kita nak kitaran ini terus berulang?
Zaman sudah berubah.
Apa yang dulu dianggap "normal" dalam mendidik anak, kini kita tahu boleh meninggalkan kesan trauma yang mendalam. Bukan kerana mereka lembik, generasi strawberi dan geng sunat laser.
Tetapi kerana pengetahuan dan kesedaran yang semakin meluas, buatkan kita refleksi semula kehidupan kita.
Ilmu psikologi juga semakin berkembang.
Kita sudah ada akses kepada:
- Ilmu kesihatan mental yang lebih mendalam
- Pemahaman tentang perkembangan kanak-kanak
- Kaedah keibubapaan yang lebih sihat
- Sokongan profesional bila diperlukan
Semua ini atuk nenek kita tak ada dulu-dulu.
Menjadi pemutus kitaran trauma bukanlah tugasan yang mudah. Ia seperti belajar berenang sambil melawan arus:
1. Kita perlu mengakui luka emosi kita
2. Kita perlu memahami corak tingkah laku tak sihat yang kita warisi
3. Kita perlu berani untuk membina sempadan yang sihat
4. Yang paling penting, kita perlu memaafkan - bukan untuk mereka, tetapi untuk pembebasan diri kita sendiri
Supaya kita lebih tenang, lebih bahagia dan lepaskan bebanan emosi yang selama kita tanggung sehingga ke dewasa.
Ingat, masa lalu mungkin telah membentuk siapa kita hari ini, tetapi ia tidak menentukan siapa kita akan menjadi esok.
5 ulasan:
apa yang pernah terjadi kepada kita suatu masa dulu, mungkin disebabkan ketiadaan ilmu pada ibu bapa kita. namun setelah dewasa, kita menjadi lebih berakal dan lebih matang, dan seharusnya kita jadi lebih bijak daripada mereka dan ambil langkah berani utk jadi pemutus trauma...
childhood trauma is real... hanya yg mengalaminya saja yg faham... bila belajar psikologi kanak-kanak dan keluarga masa degree dulu byak refleksi diri sendiri masa zaman kanak2...
Nice sharing. Banyak situasi begini yang ada disekeliling kita.
Cara dulu2 ada yang bagus. Tak dapat dinafikan, namun zaman telah berubah. Kena sesuaikan masa dan masih tetap kena disiplinkan anak2.
setiap dari kita punya kisah silam yang berbeza, sedih bila baca kisah anak-anak yang pendam dendam dan marah pada ibu ayah kerana mereka tidak mendapat yang sepatutnya dari ibu ayah.. inilah rencah dunia kan dik , doa yang baik-baik buat semua
Catat Ulasan