Isnin, 6 Januari 2025

Kenapa Perlu Belajar Sejarah

Di ruang tamu, Fateemah duduk bersila membelek buku teks sejarahnya. Riak wajahnya jelas menunjukkan rasa bosan. Aku, yang sedang melipat baju di sofa, hanya memerhati gelagatnya dengan senyuman kecil.



“Ibu…” Fateemah memanggil, nada suaranya malas.

“Ya, kakak?” Aku menjawab lembut.

“Kenapa kita kena belajar sejarah? Penting sangat ke? Kakak tak suka… susah nak ingat semua tarikh, nama orang. Rasa macam sia-sia saja.”


Aku berhenti melipat baju dan duduk di sebelahnya.

“Kakak tahu tak apa itu sejarah?” tanyaku perlahan.


“Cerita-cerita lama orang dulu. Ada perang, penjajah, benda yang kakak tak faham,” jawabnya sambil mengeluh.


Aku tersenyum dan mengusap bahunya.

“Betul tu, kakak. Tapi sejarah ni bukan sekadar cerita lama. Ia sebenarnya kisah asal-usul kita, kisah perjuangan orang sebelum kita. Cuba kakak bayangkan, kalau negara kita masih dijajah sampai sekarang, kakak rasa hidup kita senang tak?”


Fateemah mengerutkan kening. “Tak senang kot? Tapi apa yang susah sangat dulu, ibu?”


Aku menarik nafas dalam, bersedia untuk menjelaskan.

“Dulu, semasa negara kita dijajah, hidup sangat susah, kakak. Penjajah rampas semua hasil bumi kita. Padi di sawah, ayam di reban, malah makanan dalam rumah pun diambil. Atuk nenek kita terpaksa makan ubi kayu, dan kadang-kadang itu pun tak ada”


“Makanan dirampas? Habis, mereka makan apa?” tanya Fateemah, matanya membesar.


“Ubi kayu, kakak. Itu saja yang tinggal. Penjajah ambil semuanya untuk diri mereka. Kampung-kampung pula selalu kena serang. Rumah dibakar, orang kampung dibunuh. Ada yang ditembak, ada yang diseksa. Bom dijatuhkan sesuka hati, dan ramai orang mati dengan keadaan yang sangat mengerikan.”


Fateemah terdiam, terkejut dengan apa yang aku ceritakan. “Sampai macam tu sekali ke, ibu?”


Aku mengangguk perlahan.

“Ya, sayang. Penjajah tak peduli nyawa kita. Mereka cuma nak kuasa dan hasil bumi negara kita. Sebab itulah atuk nenek kita bangkit berjuang. Mereka tak mahu kita terus hidup dalam kesengsaraan. Mereka sanggup berkorban, walaupun tahu mungkin mereka takkan sempat melihat negara ini merdeka.”


“Mereka berjuang untuk kita?” Fateemah bertanya dengan suara yang sudah mula berubah nada.


“Betul, kakak. Mereka berjuang untuk anak cucu mereka, termasuk kakak, supaya kita boleh hidup dalam negara yang bebas. Supaya kita boleh belajar, bermain, dan membesar tanpa rasa takut.”


Fateemah memandang buku teksnya. “Jadi, bila kakak belajar sejarah, kakak sebenarnya belajar tentang pengorbanan mereka?”


“Tepat sekali. Kalau kakak tak belajar sejarah, kakak mungkin tak tahu betapa sukarnya hidup mereka. Kita mungkin lupa jasa mereka dan tak tahu menghargai kemerdekaan yang kita ada sekarang.”



Fateemah diam seketika sebelum berkata, “Tapi, kenapa kena hafal tarikh dan nama? Tak cukup ke tahu cerita mereka saja?”


Aku tersenyum sambil membelai rambutnya.

“Tarikh dan nama tu penting, kakak. Sebab ia mengingatkan kita siapa yang berjasa dan bila semuanya berlaku. Contohnya, 31 Ogos 1957. Apa yang berlaku pada tarikh tu?”


“Merdeka!” jawab Fateemah dengan lebih bersemangat.


“Pandai. Kalau kita lupa tarikh tu, macam mana kita nak sambut kemerdekaan dan ingat perjuangan mereka?”


Fateemah mengangguk perlahan. “Kakak faham sekarang. Kita belajar sejarah supaya kita tahu apa yang atuk nenek kita lalui. Kalau tak, kita mungkin jadi orang yang tak tahu bersyukur.”


“Betul tu, kakak. Dan satu lagi, belajar sejarah bukan sekadar tahu cerita lama. Ia juga mengajar kita untuk bersedia. Kalau kita tahu kesilapan dan kelemahan dulu, kita boleh elak perkara buruk daripada berlaku lagi. Sebab itu, kakak kena belajar bersungguh-sungguh.”


“Belajar bersungguh-sungguh supaya apa, ibu?” Fateemah memandang aku dengan penuh minat.


“Supaya kakak boleh jadi orang yang berilmu, yang tahu menjaga negara kita. Kalau kakak pandai dan faham sejarah, kakak boleh pastikan Malaysia kekal merdeka. Kakak tak nak ke jaga negara ni supaya tak ada lagi orang yang berani nak menjajah kita?”


Fateemah mengangguk dengan penuh semangat. “Nak! Kakak tak nak negara kita susah macam dulu.”



“Kalau macam tu, kakak kena mulakan dengan belajar betul-betul. Sebab orang yang pandai dan berilmu saja yang boleh jadi pelindung negara.”


Fateemah memeluk buku teksnya sambil tersenyum. “Baiklah, kakak akan cuba suka sejarah lepas ni. Tapi ibu kena cerita lagi pasal zaman dulu. Kakak rasa macam dengar cerita yang best walaupun sedih.”


Aku ketawa kecil sambil memeluknya.

“Ibu janji. Kita takkan lupa jasa mereka, dan ibu yakin kakak akan jadi anak yang mampu menjaga negara ini suatu hari nanti.”


Malam itu, aku nampak benih kesedaran tumbuh dalam diri Fateemah. Moga dia membesar menjadi generasi yang cinta pada tanah air dan takkan lupa asal-usulnya.


5 ulasan:

Mama Zharfan berkata...

inspiring entry...boleh guna cara ni utk pujuk anak2 sukakan subject sejarah

MRENEYOO berkata...

Mungkin kalau pelajaran sejarah itu di ceritakan dengan cara yang santai dan menyenangkan,anak-anak akan tertarik, kalau sekedar belajar saja dari buku" mungkin memang agak sedikit bosan ya .

Ujie Othman berkata...

MasyaAllah…bijak sungguh cara Lady mendidik anak supaya minat dengan sejarah.

Coretan Lady ni sesuai buat cerpen tau. Cubalah hantar ke mana-mana majalah DBP yang bersesuaian, moga-moga lebih ramai yang dapat manfaat daripada cerita Lady.

dear anies berkata...

lepas ni boleh kerap.melawat muzium... 😀tak rugi belajar sejarah. selain ilmu subjek ni juga dapat membentuk jati diri bangsa

anamizu berkata...

bagusnya entry Ldy ni boleh jd sumber utk bagi anak-anak semangat nak bljr subjek sejarah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...