Isnin, 23 Disember 2024

Kisah Ketam dan Hidangan Kasih

Semoga Allah Hancurkan Orang2 Yang Zalim. Ameeeen…

Ketam Yang Aku Masak Semalam


Di ruang makan kecil itu, aku duduk bersila bersama dua permata hati, Fateemah dan Ibraheem. Pinggan gulai ketam di tengah meja masih berasap, memenuhi ruang dengan bau rempah yang menggoda. 


Fateemah merenung isi ketam yang manis, Ibraheem pula sibuk mencungkil cangkerang kecil dengan sudu. Kedua-dua mereka nampak teruja, seperti ada harta karun tersembunyi di dalam pinggan itu.


“Fateemah, Ibraheem,” aku bersuara perlahan, memancing perhatian mereka. “Kalian tahu tak, waktu kecil dulu, nak merasa ketam macam ni pun bukan senang. Satu tahun belum tentu dapat makan sekali.”


Mereka memandangku dengan mata penuh ingin tahu. Aku tersenyum kecil, menarik nafas dalam sebelum memulakan cerita.


“Waktu tu, Tokki dan Tok hidup susah. Tokki kerja tanam padi, pagi-pagi lagi dah turun ke bendang, kaki penuh lumpur. 


Tok pula masak dan jaga ibu dan adik beradik ibu 9 orang. Kadang-kadang Tok juga akan ke bendang sama-sama membanting tulang mencari sesuap rezeki.

Hidup kami bukan macam sekarang, semuanya cukup. Dulu, nak makan nasi dengan ikan goreng pun dah rasa bersyukur sangat. Tapi ada satu hari, Tokki balik dari pasar bawa sesuatu yang istimewa—sekilo ketam.”


“Ketam? Sekilo cukup ke untuk ramai-ramai?” Fateemah bertanya sambil tersenyum, melihat ke arah Ibraheem yang sedang mencicip kuah dengan penuh nikmat.


Aku ketawa kecil. “Tak cukup sebenarnya. Tapi waktu tu, kami tak pernah fikir soal cukup atau tidak. Yang penting, semua dapat rasa.”


Aku meneruskan cerita. “Tokki beli sekilo sahaja, empat atau lima ekor ketam. Tok masak gulai ketam dengan santan dan rempah-rempahnya. Bau dia… Masya-Allah, harum sangat. Dari jauh dah bau masakan Tok.


Kami adik beradik duduk bersila tunggu di lantai dapur, mata tak lepas pandang periuk, tidak sabar sangat-sangat mahu merasa keenakan ketam.


 Bila dah siap, Tok cedok separuh ekor ketam untuk Tokki. Yang lain kami kongsi bersama. Tapi Tok sendiri? Tok tak makan macam kami.”


“Tok makan apa?” Ibraheem bertanya, matanya mula membesar dengan minat.


Aku tersenyum pilu, mengenang wajah Tok. “Tok ambil sisa yang kami tinggal secara sembunyi-sembunyi. Kaki-kaki ketam yang dah kami korek isinya, insang yang kami buang.


Tok isap perlahan-lahan kaki-kaki tu, makan dengan nasi dan kuah gulai. Kadang-kadang Tok makan kuah saja. Tapi Tok tak pernah nampak sedih. Tok makan selepas kami makan.”


“Tokki pula,” aku sambung, suara sedikit mendatar, 


“bila dia makan, dia akan kata, ‘Tokki tak suka sangat ketam ni.’ Tapi sebenarnya, Tokki tengah tipu. Ibu nampak Tokki kopek isi ketam, satu persatu, tapi Tokki tak makan. Tokki bagi semuanya pada kami. Dia makan kuah dan nasi saja, sambil tersenyum, macam dia tak lapar.”


Fateemah dan Ibraheem terdiam. Kuah di pinggan mereka pun sudah hampir habis, ketam di tangan pun mula diletakkan ke tepi.


“Waktu tu, ibu kecil lagi. Ibu tak tahu nak cakap apa, cuma ibu rasa sedih dalam hati. Tapi sekarang, bila dah besar, baru ibu faham… kasih sayang Tok dan Tokki. Mereka korbankan segalanya untuk kami, anak-anak mereka.”


Aku berhenti sejenak, membiarkan suasana senyap. Fateemah mencapai tanganku. “Ibu, Tok dan Tokki hebat. Macam mana ibu tak pernah lupa semua ni?”


Aku tersenyum sambil mengusap rambutnya. “Kerana kenangan ni bukan sekadar cerita, sayang. Ia hidup dalam hati Ibu. 


Setiap kali kita makan ketam, Ibu akan ingat wajah Tok dan Tokki. Mereka tak pernah minta apa-apa, hanya nak tengok kami kenyang dan gembira.”


Ibraheem tiba-tiba berkata, “Lepas ni, kalau makan ketam, kita simpan sikit untuk Tok, ya Ibu?”


Aku ketawa kecil, menahan rasa sebak yang mula menyeruak. “Betul tu, Ibraheem. Tok dah banyak berkorban. Nanti bila kita balik rumah Tok, kita masakkan gulai ketam untuk Tok, ya?”


Mereka mengangguk bersemangat, dan aku rasa lega. Hidup ini adalah kesinambungan kasih sayang. Apa yang Tok dan Tokki lakukan untuk aku, kini aku sampaikan kepada mereka. 


Semoga mereka juga belajar bahawa kasih itu adalah pengorbanan yang ikhlas, seperti mana yang pernah aku pelajari di meja usang itu dahulu.

9 ulasan:

Suria Amanda berkata...

Macam tu la ayah dan ibu kita kan...sama je ngan arwah MP dan PZ..malahan sampai sekarang PZ masih mendahulukan anak- anak dan cucu..dia x makan x pe..kadang akak cakap jugak, anak- anak dah mampu x perlu abah beli macam- macam..simpan duit untuk keperluan abah..tapi dia tetap sama..

Seri Kandi Tanah Jauhar berkata...

Awak potong bawang la tengah² hari ni.

Ammi berkata...

alaaaaa napa potong bawang. tp dulu gitulah mak-mak kitakan. dia makan tang kaki, tang leher, tang montot sebab nak kita makan isi dan bahagian yg sedap.

Mama Zharfan berkata...

memang ketam ni mknn mewah la utk keluarga MZ time MZ kecik2 dulu...dan kisahnya, mak sedare MZ dok tepi pantai, bila dia dtg visit kitaorg, memang sgt2 happy sbb tahu dia akan bwk ketam...kenangan zmn kecik2 dulu..

mama tisya berkata...

Kasihnya mak ayah utk ank2 bg mkn sedap...ketam dpt yg isi byk puasa la mkn tp kt umh ni menu ketam jrg sgtla

Puan Hazel berkata...

Dulu sampai skrg ketam ni harganya mmg mahal kan...

Titik Asa berkata...

Bahkan dari hidangan yang tersaji dapatlah kita mengenang pengorbanan orang tua kita terhadap diri kita, bagaimana mereka mementingkan anak-anaknya dalam urusan hidangan makanan.

Rupanya dari ketam yang dimasak ini, Mbak jadi terkenang masa masih kecil dulu...

Salam,

Ujie Othman berkata...

Penulisan yang indah dan penuh makna 💙

Kami pun masa kecik seingatnya jarang sangat makan ketam, adik-beradik 9 orang, makan ikan goreng pun cubit sorang sikit.

Mulan berkata...

Kadang sekarang dengan anak2 pun sama, bagi diorang dulu. Ketam memang mahal dari dulu kan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...