Isnin, 2 Disember 2024

Pesta Banjir Penantian Anak-Anak Kampung


Musim tengkujuh waktu kecil adalah suatu kemuncak kegembiraan bagi kami. Ketika langit mula sarat dengan awan gelap dan hujan mencurah lebat tanpa henti, kami tahu saat itu akan tiba—saat di mana alam menjadi pentas, dan kami, adik-beradik, menjadi pelakon dalam satu pesta air yang tiada tandingan.

Rumah kami, sebuah rumah separa kayu lusuh berdiri sederhana di tengah halaman berlumpur. Tingkat bawahnya berlantaikan tanah.. pangkin-pangkin Bak sediakan untuk kami bersantai dan beradu.. - berdindingkan papan-papan lusuh yang berlubang..

Setiap kali hujan turun, bunyi titisan air mengetuk atap zink rumah itu mencipta irama yang menenangkan. Kami akan berkumpul di tepi tingkap kayu yang besar, tempat kami memerhatikan dunia luar yang sudah mulai tenggelam di balik tirai hujan.

Aku, seperti biasa, duduk di atas riba Bak. Tangannya yang kasar tetapi penuh kasih sayang memeluk aku erat, seolah-olah cuba melindungi aku dari kedinginan musim bah. Bak akan menyanyi kecil, lagu-lagu yang hanya orang kampung tahu. Suaranya perlahan, tetapi cukup jelas untuk mengiringi bunyi hujan.

“Hujan rintik-rintik,
Anak lembu lemas air,
Panggil Tok Ubat,
Tok Ubat berak cair…”

Kami adik-beradik tertawa kecil mendengar pantun itu, walaupun sudah berpuluh kali ia dinyanyikan. Lagu itu kemudian diselang-seli dengan dendangan kegemaran Bak:

“Anok itik tok wi,
Mandi dalam kolam,
Sakit ape Tokwi,
Sakit sendi tulang…”

Di dapur, Che sibuk menyediakan juadah untuk kami. Aroma ubi kayu rebus yang baru diangkat dari periuk kayu memenuhi ruang rumah, bercampur dengan bau kelapa parut yang segar. Kadang-kadang, kami makan pulut dengan ikan masin yang telah diperam dengan garam kasar—ikan yang Che simpan berbulan-bulan sebelum tengkujuh tiba, sebagai persediaan untuk musim ini. Hidangan itu mungkin biasa, tetapi pada waktu itu, rasanya seperti hidangan paling istimewa di dunia.

Ketika air mula naik dan membanjiri halaman, kami tahu pesta sebenar akan bermula. Abang Long segera ke belakang rumah, mengeluarkan buluh yang sudah lama disiapkan. Dengan tangan yang cekap, dia mengikat buluh-buluh itu menjadi rakit yang kukuh. 

Abang Jang pula bersiap dengan tiub lori besar yang sudah lama disimpan di bawah rumah Tokki. Tiub itu adalah rahsia kecilnya, hanya dikeluarkan apabila musim tengkujuh tiba. Bila air semakin naik, Abang Jang turun ke bawah rumah Tokki untuk mengambil tiub itu, mencuci lumpur yang melekat, dan mengisinya dengan angin menggunakan pam tangan. Sesekali dia meniup kuat dengan mulutnya sendiri, memastikan tiub itu kembung sepenuhnya.

Setelah selesai, dia melapikkan papan kayu di atas tiub itu, menjadikannya pelampung ajaib.

“Adik-adik, mari naik pelampung Abang Jang!” jeritnya dengan senyuman melebar. Aku, Kakha, dan Kakna berlarian seronok sambil melompat ke atas pelampung dengan tertawa riang. Kami duduk bersusun di atas kayu pelampung itu, seperti pelayar kecil yang bersedia untuk meneroka lautan bah.

Abang Jang menolak pelampung itu perlahan ke dalam air yang semakin dalam di halaman rumah. Dengan galah panjang, dia mengemudi pelampung itu seperti nakhoda kecil lagaknya.

Petang itu, selepas puas bermain, Bak memanggil kami semua ke baruh kecil di belakang rumah. Hari ini, katanya, kami akan mencabut ubi kayu. Walaupun tanah semakin becak, itu tidak menghalang kami.

“Ayuh! Kita gali ubi. Petang ni kita makan ubi bakar!” kata Bak dengan semangat, sambil memikul cangkul kecil di bahunya.

Kami adik-beradik, dengan kaki yang sudah penuh lumpur, mengikuti langkah Bak. Abang Long memulakan kerja, mencangkul tanah di sekeliling pangkal pokok ubi. 

Setiap kali cangkul menyentuh tanah, cebisan tanah yang basah terpercik ke wajah dan pakaian kami. Kakha dan Kakna tidak berhenti tertawa, sementara aku menunggu dengan sabar untuk menarik keluar batang ubi itu.

“Tarik, cepat tarik!” seru Abang Jang sambil memegang batang ubi yang sudah longgar. Aku, Kakha, dan Kakna bergabung tenaga menarik batang itu sekuat hati. Dengan satu hentakan kecil, batang ubi itu terangkat, bersama kelompok ubi kayu yang besar, putih, dan bersih. Kami bersorak seperti baru saja menang perang.

Bak dan Che mengutip ubi-ubi itu. “Cantik ubinya, cukup untuk seminggu ni,” katanya sambil tersenyum puas. 

Kami membawa ubi kayu itu balik ke rumah, lumpurnya masih melekat, dan semangat kami melonjak-lonjak memikirkan rasa manis ubi bakar nanti.

Che segera mencuci ubi-ubi itu dengan air banjir..  membuang sisa tanah sebelum dipotong kecil-kecil. Sebahagian dibakar di atas bara dapur kayu, sementara sebahagian lagi direbus dengan sedikit garam.

Harumannya memenuhi rumah, menyatu dengan bunyi hujan yang masih mencurah.

Malam itu, kami sekeluarga duduk di tepi tingkap, menikmati ubi kayu bakar yang masih panas, dicicah dengan kelapa parut yang telah dicampur gula merah. 

Tiada yang lebih membahagiakan daripada suasana itu—makan bersama, tertawa, dan memerhatikan hujan yang sudah tiga hari tidak berhenti.

Kini, kenangan itu terasa seperti kisah dongeng. Sawah padi sudah tiada, rumah kayu lusuh itu juga telah lama bertukar wajah. Tapi dalam ingatan, suara hujan yang mencurah, pelampung tiub lori Abang Jang, rakit buluh Abang Long, dan kasih sayang Bak serta Che masih segar hidup di kolam ingatan, menemani rindu yang tidak pernah surut.

Setiap kali hujan lebat, aku memejamkan mata dan membayangkan kembali suasana itu—pesta bah di rumah kayu lusuh, yang tidak mungkin lagi wujud pada zaman ini, tetapi kekal abadi dalam hatiku.

Rindu pada arwah Bak, disusuli dengan kenangan indah sewaktu kami bersama, membuatkan air mataku laju menuruni pipi yang juga semakin dimakan usia.

7 ulasan:

Mama Zharfan berkata...

banjir selagi mana tidak extreme, memang dinanti2 utk main2 air hujan/bah tu...kenangan kebanyakan anak2 kat pantai timur..kisah zmn dulu2..termasuk myself..seronok if air penuh keliling rumah (setakat naik 1 tangga) sbb kdg2 ada ikan puyu dlm air tu (sbb limpahan dari air sawah yg berdekatan)

Iqbal Harith بَ berkata...

bestnyaaa dulu-dulu...keseronokan dapat dirai walau berada dalam kesusahan dan kelemahan, setiap yang ada tetap disyukuri bersama 🤍

dear anies berkata...

hati2 bermain air banjir
sy bimbang haiwan berbisa je

Ana Jingga berkata...

kak ana pun ada nostalgia bila banjir waktu kecil di Perak, cuma airnya tak lah tinggi dan ikut pasang surut kejap sahaja kemudian surut dah, rumah pun tinggi jadi tak kena dalam rumah. Memang time tu pesta mandi depan tangga dengan sepupu :)

Ammi berkata...

awak yg tulis ammi yg sebak...kenangan mmg suatu yg tak boleh dibeli. Susahkan nak gambarkan pada anak-anak apa kenangan manis yg kita lalui sbb dorang tak ada gambaran tu

Amie berkata...

Banyaknya nostalgia waktu banjir.
Anak-anak saya tak pernah merasa suasana banjir.

Puan Hazel berkata...

PH tak ada kenangan banjir tapi kenangan mandi hujan dan carok/sungai masih segar di ingatan. Bila musim hujan arwah Mak tak dapat keluar menoreh. Mak banyak duduk di dapur, jadi dapatlah makan lempeng, ubi rebus, Pisang rebus, cekodok semua. Hujan kan lapar je :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...