Gambar Fatimah sewaktu usia 3 tahun di Penang |
Waktu kecil, rumah arwah Mek adalah tempat di mana aku menemui sebuah dunia yang penuh kehangatan dan kasih sayang.
Mek, mak saudara bongsu aku, anak susuan arwah Tok Teh.. Adik susuan arwah Bak, bukan sekadar seorang ibu saudara. Dia adalah ibu kedua aku, pengasuh yang menyambut aku ketika Che dan Bak sibuk dengan urusan harian.
Suaminya, yang aku panggil Abang, menjadi ayah kedua aku—lelaki pendiam tetapi penuh kasih, yang membawa aku ke dalam kehidupannya seolah-olah aku darah dagingnya sendiri.
Che sibuk menanam kacang panjang, hidup Che dipenuhi dengan menanam, menuai, dan menjual hasil tanaman itu. Di samping memasak untuk santapan keluarga besar kami.
Dengan adik-beradik yang ramai, kasih sayang Che terbahagi, dan aku mungkin tidak sempat merasa cukup pelukan atau perhatian seperti yang seorang anak kecil idamkan. Maka aku, si anak kecil yang dahagakan perhatian, dititipkan kepada Mek.
Mek dan Abang tidak mempunyai anak. Aku, dengan telatah nakal tetapi penuh ceria, mengisi kekosongan hati mereka. Bagi mereka, aku bukan sekadar anak saudara. Aku adalah pengubat sunyi, penyeri rumah, dan mungkin juga jawapan kepada doa-doa panjang mereka yang tidak kesampaian.
Namun, ada satu perkara tentang Mek yang tidak pernah aku lupa—masakannya. Walaupun dapur Mek tidak besar, ia terasa seperti dapur yang penuh magis. Mek memasak di dapur gas, sesuatu yang luar biasa pada zaman itu. Kebanyakan rumah-rumah pada waktu itu masih menggunakan dapur kayu untuk memasak. Salah satu makanan kegemaran aku di rumah Mek adalah mihun goreng.
Mihun goreng Mek sebenarnya sangat sederhana—kadang-kadang hanya mihun kosong yang dimasak dengan kicap dan bawang. Tetapi rasanya jauh lebih sedap daripada mihun di tempat lain.
Aku paling suka menikmatinya panas-panas, digandingkan dengan keropok keping goreng yang Mek sediakan khas untuk aku. Rasa masin keropok yang rangup bercampur dengan mihun panas itu adalah nikmat yang sukar dilupakan.
“Makan cepat, nanti sejuk tak sedap,” kata Mek sambil duduk di sebelah aku dan meniup-niup mihun itu sebelum menyuapkan aku.
Melihat aku makan dengan penuh selera. Setiap suapan terasa seperti hadiah—makanan itu bukan sekadar mengenyangkan, tetapi membalut hati aku dengan kasih sayang yang tulus.
Seingat aku, di rumah Mek, ada satu balang besar berwarna kuning dengan corak seperti nanas. Balang itu sentiasa terisi dengan keropok keping, kegemaran aku.
Aku akan membuka penutup balang itu perlahan-lahan, mengambil keropok satu persatu sambil tersenyum kecil. Mek hanya membiarkan, seolah-olah dia tahu kegembiraan kecil seperti itu membawa makna besar untuk aku. Dan seingat aku, balang itu tidak pernah kosong dari keropok keping.
Kadang-kadang, pada waktu petang, kakak-kakak aku, Kakha dan Kakna, serta Abang Jang, akan datang bertandang ke rumah Mek. Mereka bukan datang untuk aku, tetapi untuk menonton televisyen.
Rumah Mek adalah salah satu rumah di kawasan kami yang mempunyai tv, dan itu menjadikannya tempat istimewa untuk sebahagian orang.
Kami akan duduk bersila di lantai kayu yang beralaskan tikar getah, mata terpaku pada skrin kecil itu. Mek akan duduk di belakang, melipat kain baju yang beliau baru angkat dari ampaian yang terletak di 'lambo' rumah tersenyum melihat gelagat kami yang terlalu teruja walaupun hanya menonton cerita lama yang hitam putih.
Rumah mek adalah rumah kecil, ada sebuah bilik dan juga tempat mek menenun songket. Kadang-kadang kalau hujan, terasa atap ingin tanggal dari pakunya. Di siang hari pula, panasnya sangat membahang sehingga angin kipas juga terasa seperti angin panas yang memijar kulit. Walaupun apa jua keadaan rumah mek, ia adalah syurgaku.
Gambar kenangan di Kameron |
Kalau musim banjir, rumah Mek menjadi lokasi mengail kami. Rumahnya yang tinggi menjadikan kawasan bawah rumahnya dipenuhi air. Seperti kolam. Kami sering mengail ikan di situ, menggunakan joran buluh buatan sendiri. Ikan-ikan kecil seperti puyu dan keli melompat-lompat di dalam air. Gelak ketawa kami memenuhi ruang.
Di rumah Mek, semuanya terasa mudah. Kasih sayang Mek dan Abang tidak mampu dibandingkan dengan kasih sayang ibu dan ayah kandung sendiri. Bukan kerana Che dan Bak tidak menyayangi aku, tetapi kerana di rumah Mek, aku satu-satunya anak kecil dan kasih mereka hanya untuk aku.
Kini, Mek sudah lama meninggalkan dunia ini. Arwah Mek meninggalkan aku waktu Baem masih kecil.. dalam lingkungan usia 3 bulan.. Wajahnya yang lembut, tangannya yang sering membelai rambutku, semuanya hanya tinggal dalam kenangan. Abang pula sudah berpindah dari rumah asalnya, menetap di tempat yang agak jauh dariku. Kami jarang berjumpa, mungkin kerana kesibukan dan jarak yang memisahkan kami.
Tetapi ingatan aku tentang Abang tidak pernah berkurangan. Setiap kali aku teringat kasih sayangnya dalam menyantuni seorang anak kecil dengan penuh kasih, atau suara motosikalnya yang selalu membawa aku ke pasar malam, hati aku terasa rindu. Abang masih ada, tetapi seperti bayang yang semakin menjauh. Aku kadang-kadang lupa, abang membawa aku menaiki motosikal atau kereta sewaktu itu, memoriku terpadam untuk itu.
Hanya kenangan yang mengikat hati kami. Kenangan tentang pantai yang berangin, tentang pasar malam yang bising tetapi meriah, tentang balang kuning berisi keropok, tentang mihun goreng Mek yang terasa seperti magis, dan tentang ikan goreng Mek yang tidak pernah mampu aku tiru rasanya. Semua itu adalah serpihan waktu yang aku simpan erat dalam hati.
Kenangan adik dan kakak |
Aku juga masih teringat sewaktu aku jatuh ke dalam telaga di padang depan rumah aku sewaktu bermain lompat tali.. keesokan itu juga abang membawa jengkautnya untuk menimbus telaga itu. Telaga itu sumber air yang digunakan oleh Che dan Bak untuk menyiram kacang panjang.
Aku tahu, Mek mungkin sudah jauh, tetapi kasih sayangnya tetap dekat. Aku berdoa agar dosa-dosa Mek diampunkan, agar dia ditempatkan di Syurga-Nya yang abadi. Mek, ibu kedua aku, pengasuh dan penjaga hati kecilku, telah memberikan aku sebuah anugerah—kasih yang tidak pernah hilang walaupun ditelan masa.
Dia yang selalu ada ketika diperlukan, kasih sayangnya tetap mekar walaupun ditelan zaman.
Semoga Allah merahmati Mek dan Abang, dua insan yang pernah menyelamatkan jiwa kecil aku dengan kasih sayang mereka. Mereka mengajar aku bahawa keluarga bukan sekadar darah, tetapi cinta yang tulus, yang mampu menjangkau batas kehidupan.
Terima kasih Mek, Abang.. kerana meminjamkan aku secebis kenangan untuk aku simpan.
p/s : Semua gambar adalah gambar hiasan, tiada gambar tersedia untuk nukilan ingatan ini.
2 ulasan:
Now akak faham jalan cerita LB..dapat akak gambarkan melalui penceritaan..seronoknya memancing..dan terbayang LB menyuap bihun goreng kegemaran..semoga kenangan tersebut sentiasa mekar di ingatan...
Semoga arwah ah mek ditempatkan di kalangan org yang beriman.. Aamiin...
Semoga lady sihat2 selalu, lama tak nampak lady post entry..
Catat Ulasan