Ahad, 16 Oktober 2011

Apabila OKU Mula Bersuara

Omar Abdul Aziz
Kehidupan warga yang bergelar Orang Kelainan Upaya atau lebih dikenali sebagai warga OKU tidaklah setabah dan seceria orang biasa walaupun kadang-kadang terdapat sebahagian daripada mereka ceria seperti tiada apa yang berlaku.

Jauh di sudut hati pasti tercetus sedikit perasaan hiba dan sedih walaupun secara kasarnya orang melihat mereka mendapat apa yang mereka inginkan tanpa merasa pedih hati mereka.

Setiap detik dan setiap inci pergerakan yang mereka lakukan memerlukan tenaga dan semangat yang berganda-ganda berbanding dengan manusia normal walaupun hanya mengambil secebis kertas ataupun hanya bergerak untuk mengalihkan badan daripada suatu tempat ke suatu tempat walaupun jaraknya hanyalah beberapa meter. Tahap keperluan kalori dan tenaga yang diperlukan adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan manusia normal.

Setiap level kehidupan mereka memerlukan usaha yang gigih untuk mendapatkan kejayaan seperti warga normal. Andai ketidak upayaan tersebut bermula sedari kecil, sedari kecillah pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa ditempuhi lebih-lebih lagi apabila berusia tujuh (7) tahun. Andai kanak-kanak biasa tidak mengalami masalah untuk bersekolah di mana-mana, tetapi tidak bagi kanak-kanak warga OKU, perkara itu tidaklah semudah yang disangkakan. 

Pelbagai 'kerenah' perlu dilalui hanyalah untuk melayakkan diri bergelar sebagai seorang pelajar. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan untuk berdepan dengan pelbagai permasalahan tersebut, pasti kanak-kanak OKU dibiarkan di rumah tanpa pembelaan sewajarnya. Dan jika hal ini berlaku, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada penjaga kanak-kanak OKU tanpa mengetahui tekanan yang terpaksa dilalui oleh mereka.

Permasalahan berterusan lebih-lebih lagi untuk melepasi setiap level kehidupan. Contohnya level daripada bergelar pelajar sekolah rendah, berganjak menjadi pelajar sekolah menengah, kemudian ke matrikulasi/ STPM, dan seterusnya ke peringkat universiti.

Cabaran yang lagi hebat menunggu apabila melepasi dunia pelajar.. Golongan OKU amat sukar untuk diterima menjadi pekerja di sektor-sektor kerajaan dan di sektor-sektor swasta. Andai ada hanyalah sebilangan kecil sahaja daripada mereka dan yang selebihnya mengganggur di rumah seolah-olah menunggu "panggilan" daripada Ilahi. 

Andai ada yang diterima bekerja, hanyalah beberapa peratus sahaja daripada mereka secara keseluruhan. Apa yang dibicarakan oleh kerajaan untuk meletakkan sekurang-kurangnya 1% daripada kakitangan mereka dalah daripada kalangan warga OKU hanyalah ritorik semata-mata.

Tidak kurang juga yang diterima bekerja tetapi diberikan kerja yang tidak sepatutnya dan dengan gaji yang tidak masuk akal. Tetapi disebabkan tiada pilihan, maka golongan ini terpaksa memberi peluang untuk "diambil kesempatan" memandangkan terlalu sukar untuk mendapat pekerjaan.

Andai terdapat yang 'terlebih usaha' daripada yang 'lebih usaha', mereka akan mencuba membina kerjaya sendiri seperti berniaga secara kecil-kecilan seperti membuka kedai 'top up' atau kedai kecil di tepi rumah, berjualan secara kecil-kecilan di dunia maya, mengambil upah memasak, ataupun belajar kemahiran seperti menjahit pakaian. 

Bunyinya agak mudah, tetapi tidaklah semudah kita menaip di facebook, menaip di blog dan tidaklah semudah kita membaca artikel ini.

Kadang-kadang usaha mereka lakukan tidak setimpal dengan perolehan yang mereka dapat disebabkan oleh pelbagai cubaan dan cabaran yang terpaksa mereka tempuhi serta ketidak upayaan mereka untuk bersaing dengan orang normal demi mendapatkan sesuap rezeki. 

Kekangan demi kekangan terpaksa mereka tempuhi dan kebanyakan daripada mereka tidak berani tampil menyuarakan permasalahan mereka kerana tiada siapa yang akan membantu walaupun di dada-dada akhbar, di tv-tv heboh diperkatakan mengenai keisitimewaan yang bakal diperolehi oleh warga OKU. 

Hanya mereka sahaja yang sedar, dan rasa serta mengetahui bahawa apa yang dihebohkan tersebut hanyalah untuk mengaburi mata di bawah sedar masyarakat sekeliling bahawa nasib golongan OKU terbela. 

Untuk mendapatkan hak-hak keistimewaan bukanlah seperti mengunyah kacang di dalam mulut. Tetapi perlu menempuhi pelbagai prosedure dan kerenah birokrasi yang memakan masa bertahun-tahun dan memerlukan tenaga dan upaya untuk turun naik di jabatan-jabatan tertentu semata-mata untuk mendapatkannya. 

Bagi yang kuat, mempunyai sokongan dan kemudahan akan berjaya memilikinya tetapi bagaimana pula bagi yang lain-lain yang sukar untuk bergerak ke mana-mana apatah lagi untuk pergi berulang alik ke jabatan-jabatan hanyalah untuk mendapatkannya? 

Andai mereka mempunyai duit dan sumber pendapatan, pasti akan berusaha mendapatkannya dengan prosedur seperti manusian normal yang kurang kerenahnya dan memerlukan masa yang singkat berbanding untuk melalui procedur warga OKU yang lebih bersifat membantutkan. 

Ikuti wawancara bersama salah seorang warga OKU, En Omar Abdul Aziz (44 tahun), salah seorang warga OKU yang tabah yang sekarang giat menjalankan perniagaannya yang berkaitan dengan perniagaan komputer. Dan di bawah setiap video tersebut tertulis siratan wawancara beliau bersama DJ Radio Salam FM dalam rancangan Suara Insani.

Video Pertama
 

Kekuatan semangat perlu menjadi suatu teras kepada usaha yang dilakukan dalam perniagaan ataupun meneruskan kehidupan sebagai warga Kelainan Upaya untuk menjadi orang yang turut sama berjaya dalam kehidupan yang mana telah Allah bentangkan di atas dunia ini dengan pelbagai nikmat yang disediakan untuk kita bersama. 

Siapa pun kita.. tidak kiralah kita lebih upaya atau kurang upaya.. di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala hanyalah takwa yang menjadi penilaian-Nya. 

Usaha dan kegigihan untuk menjadi maju biarpun terpaksa mengharungi seribu satu cabaran cukup membuatkan kita kagum dan berasa betapa hebatnya Allah Subhanallah yang menjadikan hamba-Nya kurang upaya di pandangan mata tetapi beribu daya semangat hidup. 

Personaliti En Omar Abdul Aziz (44 tahun) merupakan seorang anak kelahiran Perak, merupakan salah seorang golongan Orang Kelainan Upaya. 

Mengalami kecacatan sejak daripada kecil, kehilangan upaya untuk bergerak dan perlu bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda. 

Setelah beliau diberhentikan dengan pencen sebanyak RM190 sebulan, beliau telah menubuhkan sebuah perniagaan yang berkaitan dengan komputer seperti perkhidmatan membaiki komputer, mengadakan kelas komputer, jual komputer dan sebagainya. 

Beliau telah merangka beberapa strategi untuk memastikan beliau tidak semata-mata menjadi orang yang menerima bantuan sepanjag masa. 

Jadi untuk merubah kepada ke arah berusaha dan berdikari, beliau telah menyediakan beberapa plan tindakan di mana walaupun terpaksa berdepan dengan persaingan hebat, namun beliau tetap meneruskan usaha dengan harapan ia tetap akan berjaya. 

Adat perniagaan, ada kalanya naik dan ada kalanya jatuh meruncing. 

Beliau turut cuba mendapatkan dana-dana daripada orang ramai untuk menaja pelajar-pelajar, anak-anak OKU, dan anak-anak orang warga kurang berkemampuan dan menggunakan dana tersebut dengan mengadakan kelas-kelas bagi mereka serta turut menampung bayaran-bayaran serta sewa dan tuntutan-tuntutan bil untuk meneruskan perniagaan beliau dalam usaha untuk hidup berdikari.



Segagah nama Khalifah Islam, Umar Abd Aziz, semangat dan kekuatan turut mengalir ke dalam diri En Omar Abdul Aziz.

Beliau tidak pernah kalah dengan keadaan yang beliau tempuhi dan alami. Seperti insan lain, beliau mempunyai impian dan cita-cita, juga perasaan yang membolehkan beliau melalui kehidupan ini tanpa merasa erti kekurangn kerana cabaran yang beliau hadapi tidak pernah mengenal siapakah beliau.

Dalam pada itu, beliau tidak pernah jemu untuk menghantar surat dan permohonan kepada pihak yang berwajib untuk memohon supaya mereka mempertimbangkan peluang-peluang perniagaan untuk diberikan kepada golongan-golongan peniaga warga OKU.

Contohnya kerja-kerja baik pulih komputer bagi jabatan-jabatan kerajaan dan 10% atau 20 % daripadanya disalurkan kepada golongan OKU tanpa melalui kerenah birokrasi yang terlalu banyak yang kadang-kadang tidak mampu untuk disediakan oleh warga OKU.

Contohilah acara sukan sukan olimpik, mereka pisahkan dengan sukan paralimpik semata-mata kerana mereka ingin melihat kedua-dua pihak samada peserta sukan yang sihat ataupun peserta sukan warga OKU turut akan merasai kemenangan walaupun dengan cara yang berbeza.

Dalam sukan, perkara ini boleh diasingkan dan tidak mustahil dalam usaha untuk mencari nafkah dan rezeki juga pihak penguasa atau yang berkuasa boleh memikirkan sesuatu untuk membantu golongan warga OKU. Sekurang-kurangnya mengurangkan prosedur yang perlu dilalui untuk memberi keringanan dan kemudahan kepada mereka untuk hidup berdikari tanpa perlu menagih simpati sesiapa.

Memberi sedikit peruntukan kepada warga OKU untuk berniaga membolehkan mereka ini mendapat sedikit sinar dan harapan agar perniagaan yang mereka usahakan boleh mereka jayakan dan mereka jalankan dengan lancar. Warga OKU memerlukan sokongan dan dorongan daripada semua pihak untuk bangkit menyahut cabaran dunia kehidupan yang banyak rencah kerenahnya.

Untuk membiarkan OKU berdiri sendiri, berusaha sendiri tanpa memberi sedikit suntikan dan bantuan menyulitkan lagi kehidupan mereka. Adalah tidak adil sekiranya pihak yang berkuasa membiarkan golongan OKU untuk berusaha dengan kudrat yang terbatas untuk bersaing dengan golongan orang biasa yang jauh lebih gah untuk maju.

Andai diberi kerjasama, diberi bantuan, diberi peluang kerja, warga OKU akan mampu berjalan seiring dengan peniaga-peniaga lain yang sempurna untuk berjaya dalam dunia perniagaan kerana mereka hanya memerlukan sedikit suntikan untuk turut duduk sebaris bersama-sama dengan peniaga lain.

Semoga luahan rasa yang beliau lontarkan menerusi ruangan ini mendapat perhatian dan pertimbangan dari pihak yang berkenaan. Moga menggamit keprihatinan masyarakat terhadap golongan Kelainan Upaya yang juga mempunyai keinginan untuk hidup berdikari.

Kepada Warga OKU di luar sana yang ingin berkongsi cerita duka, hantarkan atau hubungi :

Penerbit Salam Insani,
Bahagian Media JAKIM,
Aras 3 Blog D9, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaaan Persekutuan,
62519, W.P Putrajaya, Malaysia.

Nukilan : LadyBird's Life 

p/s : En Omar Abdul Aziz juga merupakan salah seorang blogger, dan sahabat semua boleh click di SINI untuk melayari kehidupannya. Kisah beliau juga turut ditulis di SINI. Kepada warga blogger yang membaca dan mempunyai cara untuk membantu beliau untuk meneruskan hidup, boleh menghubungi terus beliau di talian 0125550546 atau melalui emel beliau, omar02_abdul_aziz@yahoo.com.my.

32 ulasan:

Maiyah berkata...

assalam..

dlu en omar ni ddk dekat ngan rmh.. dia pun satu skolah ngan kakak yg atas akak hehe kakak atas kakak le ni :)

smoga en omar sntiasa trus brjuang, jgn berhnti tp perlu jg berhnti sesaat sbb kekadang psti akan terasa spt x snggup nk truskan.. namun kita tiada pilihan.. insyaAllah segala berserah pd Allah ;)

shameel Iskandar berkata...

kisah yg membuka mata hati. Moga Allah merahmati kehidupan en omar.Dan semoga kita semua dapat mengambil iktibar dari usaha dan kegigihan beliau.

dnoBiz berkata...

pada aku aku lebih mengagumi OKU ni dari kebanyakan orang normal, mereka mampu survive dalam keadaan yang cukup mencabar dan jarang merungut tapi lebih banyak berusaha.. tek seperti kebanyakan orang yang normal yang terlebih banyak merungut...

ghost berkata...

aku cuma selalu berfikir bahwa golongan OKU ini sepatutnya mendapat perhatian yang lebih dari pihak kerajaan sendiri.

Unknown berkata...

OKu lebih cekal mengharungi hidup ni berbanding org yg sempurna tubuhnya.

tapi sayang OKu masih dipandang sepi oleh masyarakat... mereka sepatutnya mendapat hak yg sama rata seperti org lain

Abd Razak berkata...

Assalamualaikum...

Moga saudari sihat dengan izin Allah Taala...

Membaca cerita ini teringat dengan sepupu saya yang lahir tanpa tangan dan kaki. Kini usianya sudah 18 tahun, bergerak dalam rumah dengan berguling. Sangat terbatas untuk melakukan apa-apa melainkan pertolongan ibubapanya.

Ayahnya berkata, alhamdulillah anak ini ujian baginya

mustapam.okuberjaya.com berkata...

Sebagai OKU saya juga bersetuju dan bersimpati dengan perkara yang dinyatakan. Bagi pendapat saya pihak kerajaan hanya pandai membuat kata-kata manis tapi tidak tidak mengotakannya. Semua bantuan kewangan yang diberi kepada OKU memanglah tanggungjawab pihak kerajaan, ianya tidak perlu dibanggakan. Pihak kerajaan sepatutnya bertanggung jawab untuk menaikkan taraf hidup OKU dengan berbagai cara yang sepatutnya. Berbagai bantuan dan geran sepatutnya disediakan bagi membantu OKU.Geran BERBILLION ringgit disediakan untuk berbagai sektor tapi untuk OKU mula berniaga hanya RM2700.00 saja diberikan,itu pun berbagai masalah birokrasi terpaksa dilalui. Dalam masa sekarang RM2700.00 apa yang boleh dibuat, mungkin 20 tahun lepas boleh. Tahun lepas semasa Hari OKU 2010,dengan tema nya untuk meningkat kan kemudahan dan pekerjaan untuk OKU. Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan,contohnya Hentian Puduraya dinaikan taraf berjuta ringgit tapi adakah kemudahan untuk OKU dinaikkan taraf?. Tengoklah tahun ini apa pula temanya. SAMPAI BILA BILA MASIB OKU TETAP BEGINI.

Mario berkata...

ok...pernah tulis gak pasal abang omar ni...tak sangka dah ditemuramah oleh radio ...semoga beliau terus tabah dan berjaya

wahida berkata...

semoga mereka semua terus tabah hadapi kerenah dunia ni...

Dinar berkata...

kegigihan OKU sepatutnya membuka mata orang sempurna sifat fizikal dan sihat tubuh badannya, tetapi kadang-kadang mereka juga masih mencari atau tersesat dalam memajukan diri dan paling menyedihkan lagi mereka juga turut menagih simpati bantuan orang lain...

insan marhaen berkata...

kekadang kita ini lebih OKU dari OKU yang ada. kita OKU dalam cara berfikir!

Unknown berkata...

memang selalunya golongan ini dipinggirkan...atok ado kenal sorang insan OKU ni kerja kat pasaraya The Store...memang rajin

Unknown berkata...

OKU perlu di layan samo rato...

tehr berkata...

sejak kecil biasa lihat mereka
dan mereka memang lebih tabah dari kita yang sempurna

sebenarnya semangat mereka lebih sempurna dari kita

Unknown berkata...

dulu kak bui tak pernah terfikir akan berkerja dgn golongan OKU ni..tp sekarang hari2 kak bui akan melihat dan menjaga mereka(kak bui PPM pendidikan khas)..bila bergaul dgn mereka,barulah kita tahu betapa sukarnya mereka ini untuk meneruskan hidup dibumi Allah..syukurlah kak bui diberi peluang utk berbuat kebaikan pd golongan ini..

dan semoga mereka tetap tabah,biarpun serba kekurangan

tiefazatie berkata...

teruskan perjuangan..hak patut diberi sama adil kan..mereka juga insan manusia..

adwafarahin berkata...

kita x merasa mcm mana mereka rsakan..nk hidup kene usaha lebih berganda2 dr manusia biasa untuk terus hidup

yg bernasib baik dpt pekerjaan,bg yg tiada pekerjaan mmg sukar nk teruskan hidup..tp mereka kuat..kagum dgn diorang..x putus asa nk hidup :)

Ayie Abas berkata...

dlm keluarga ayie juga ada OKU. asalnya anak saudara ayie sihat normal tapi atas sesuatu kejadian yg berlaku anak saudara ayie kehilangan upaya. dia terpaksa mula dari bawah semula. kini sedikit sbyk sudah ada perubahan positif walau tdk spt dulu lagi..ermmm +___+

blog-tips-kurus berkata...

mereka insan istimewa, lagi kuat drpd kita..

Unknown berkata...

mereka perlu dilayan same rate..dan tidak perlu dibandingkan kerane mereka juger manusie macam kiter..

Unknown berkata...

org2 istimewa ni slalunya lebih cekal dalam mengharungi cabaran dan dugaan idup berbanding yg sempurna...

Ungu Violet berkata...

hargailah golongan oku ini...jgn memandang rendah kpd mereka...mereka juga memerlukan kehidupan...:)

Nizam Ijam berkata...

bersyukur lah dengan nikmat ALLAH :)

cardiacku berkata...

Terima kasih telah berbagi informasi yang bermanfaat ini sahabat..salam dari Indonesia

Maya Mayana berkata...

semangat mrk lg kental dr yg sempurna...kagum dgn mereka

follow sini :)

qemaishak berkata...

Kadang2 OKU lbh kental hidup & bekerja daipada yang normal..moga tabah & murah rezeki mereka.

Unknown berkata...

kak..takmo baca la..nanges nanti

teha berkata...

kite ptt nye tlg org OKU :)

CIK TOM berkata...

ciktom bangga dgn org en omar ni..xjadikan kekurangan pd diri sbgi alasan utk teruskan hidup..

Puan Kutu berkata...

teruskan berjuang..jgn biar org pandang rendah kerana setiap OKU itu istimewa..:)

puteraduyong berkata...

rupanya masih ada yang prihatin...harus sesama kita bantu...

NasQ berkata...

satu ayat, KAGUM dengan entry ni...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...