Sekarang ramai individu yang membahaskan isu hukum Allah.. iaitu hukum Hudud.
Yakni undang-undang Islam yang telah ditetapkan untuk melindungi dan menghukum kesalahan yang dilakukan oleh makhluk ciptaan-Nya yang masing-masing dicipta dengan kelemahan dan kelebihan yang tersendiri sesuai dengan perjalanan kehidupan yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Subhanallah.. begitu luasnya Pengetahuan-Nya, dan setiap perjalanan kehidupan kita hatta setiap titisan peluh kita ke bumi di bawah Kekuasaan-Nya.
Di sini, Lady rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu yang mungkin berguna bagi yang masih was-was berkaitan perlaksanaan hukum Allah tersebut.
Masih ramai di kalangan kita yang masih belum yakin dengan al-Quran dan hukum yang telah termaktub di dalamnya. Pelbagai persoalan timbul di benak masing-masing jika hukum Hudud diperdebatkan.
Ada yang takut, dan tidak kurang juga yang sangat-sangat bersetuju jika undang-undang berlandaskan al-Quran dan hadis tersebut terlaksana di bumi Malaysia ini.
Masing-masing mempunyai alasan tersendiri berdasarkan kefahaman masing-masing. Alhamdulillah.. Hebatnya Allah menciptakan manusia dengan akal fikiran, dan masing-masing diberi kebebasan untuk berfikir dan mengutarakan pendapat.
Tetapi, sebebas manapun kita diberi hak untuk mengeluarkan pendapat.. Allah telah memberi garis panduannya.. dan jangan sesekali biarkan ia terpesong daripada landasannya..
Di sini lady ingin kongsikan video daripada You Tube.. olahan daripada Ustaz Azhar Idrus berkaitan isu HUDUD ini.. dan di bawah video ini lady tuliskan intipati daripada ceramah beliau.
Soalan : Jika hukum Hudud dilaksanakan di negara ini adakah semua akan menjalani hukuman berlandaskan hukum Allah termasuk orang kafir atau hukuman terhadap mereka berlandaskan hukuman sivik?
Olahan daripada Ustaz Azhar Idrus :
Setiap orang yang mengakui dirinya Islam, wajib berazam di dalam hatinya untuk melihat undang-undang Allah terlaksana dalam negara. Kalau tidak berniat begitu, maka berdosa kita pada Allah.
Perjuangan untuk menjalankan hukum Allah, WAJIB menyertai sekurang-kurangnya dengan doa.
Jangan kita menyebelahi golongan yang memberi halangan dan tentangan kepada undang-undang Islam. Andai kita termasuk di dalamnya.. kita termasuk di dalam golongan orang-orang MUNAFIQ.
Siapa yang halang ISLAM.. siapa yang lawan undang-undang ISLAM.. dia MUNAFIQ.. penghuni Neraka yang paling bawah. Nauzubillah...
Apabila Hudud dilaksanakan, contoh ;
Hukum potong tangan : Pencuri laki-laki dan perempuan yang disabitkan kesalahan dan cukup syarat-syaratnya perlu dipotong tangan keduanya oleh kerajaan (undang-undang).
Tetapi berbeza bagi orang kafir, hukuman terhadap orang kafir adalah tepulang kepada pihak mahkamah yang menetapkan hukuman.
Orang Islam tidak perlu bimbang tentang perlaksanaan hukum tersebut kerana ulamak-ulamak terdahulu telah menyediakan kitab-kitab yang mengandungi enakmen jenayah yang berpandukan hukum Allah jauh lebih banyak daripada kitab undang-undang karangan barat yang terdapat di dalam mahkamah masa kini.
Ketetapan hukuman telah disediakan.. setiap kesalahan ditentukan hukumannya.. istihad mendahului zaman seribu tahun. Allah telah memberi ilham kepada ulamak-ulamak terdahulu di mana kejadian yang belum berlaku mampu difikirkan oleh ulamak-ulamak Islam lampau.
Subhanallah, hebatnya ulamak dahulu. Allah menganugerahkan mereka ilham melangkau zaman.. demi untuk kemudahan kita sekarang..
Contoh :
Persoalan (Tahun ke-4 Hijrah) : Siapa yang ada dua (2) kepala, yang mana satu perlu diambil whudu'?
Jawapan : Muka (wajah) yang banyak menghadap kiblat perlu diwhudu'kan.
Sewaktu persoalan dan jawapan ini ditetapkan, tidak wujud lagi manusia berkepala dua pada abad tersebut. Pada tahun 1970-an, lahir manusia berkepala dua yang hidupnya hanya sekitar 30 tahun.
Kita sebagai orang awam tidak perlu bimbang dan gusar terhadap perlaksanaan hukum ini kerana tanggungjawab untuk melaksanakan hukum tersebut bukan kita, tetapi telah dipertanggungjawabkan kepada pemimpin-pemimpin kita.
Tetapi kita perlulah memberi sokongan, bantuan, dan tenaga supaya tertegaknya Islam di bumi Allah ini.
Perbezaan antara orang Islam dengan orang MUNAFIQ :
Islam : Akan bersungguh-sungguh berusaha supaya Islam tertegak. Samada melalui percakapan, fikiran, pekerjaan dan keseluruhan aspek menjurus kepada hendakkan Islam.
Munafiq : Mereka akan bersungguh-sungguh untuk memastikan hukuman Islam tidak dilaksanakan.
Mari kita sama-sama fikirkan.. kita tergolongan dalam kumpulan yang mana satu.
Walaupun siapa kita, sama ada jahil, jahat, kaki perempuan, tetapi perlu dipastikan.. akidah kita tetap pada Islam. Samada dengan doa, dengan fikiran, dengan duit, atau dengan tenaga.. pastikan walau sedikit.. kita tetap libatkan diri dan jangan sesekali terlibat dalam memberi halangan daripada tertegaknya hukum Allah.
Semoga kita terdiri daripada kalangan orang-orang yang dilindungi. Insya-Allah.