Isnin, 30 Disember 2024

Selamat Datang 2025

2024 membawa pelbagai peristiwa dan pengalaman. Setiap satu daripadanya, insyaAllah, menjadi kebaikan yang mendekatkan kita kepada haluan hidup yang lebih baik.

Allah mengambil sesuatu dari kita, tetapi Dia juga menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik, sesuai dengan hikmah dan masanya. 

Allah memperkenalkan kita lebih mendalam kepada perkara yang sudah kita kenali dan membawa kita kepada hal-hal baru yang belum pernah kita kenali atau kuasai.

Ada janji yang telah tertunai, dan ada juga janji yang masih menanti waktunya. 

Semoga 2025 menjadi pelengkap kepada kisah hidup kita, membantu kita menjadi insan yang lebih baik, lebih positif, dan lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Belajar untuk lebih banyak berdiam dan merenung. Usaha untuk menyambung dan memelihara silaturrahim. 

Tidak semua yang kita benci itu buruk untuk kita, dan tidak semua yang kita suka itu baik untuk kita.

Belajar untuk lebih tenang. Dan lebih banyak diam.

Segalanya dilakukan kerana Allah.

Semoga 2025 menjadi tahun yang penuh keberkatan.

Ahad, 29 Disember 2024

FAIRUS BUAT GIVEAWAY

 Bismillahirrahmanirrahim.

Terima kasih Encik Fairus buat giveaway untuk kami sertai FAIRUS BUAT GIVEAWAY. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Disember 2024, esok. Alhamdulillah, masih sempat untuk Lady sertainya.


Tiada syarat yang menyukarkan. Hanya perlu:

  • Membuat posting bertajuk FAIRUS BUAT GIVEAWAY dengan memuatnaik gambar poster di atas dan membuat pautan ke entri ini.
  • Tuliskan juga kenapa anda suka mengunjungi blog ini (biar jujur agar aku dapat mengerti kekuatan blog ini. Andai tak suka pun boleh tulis juga agar aku dapat memperbaiki kelemahan).
  • Tinggalkan pautan entri anda mengenai giveaway ini di ruangan komen.
  • Follow blog ini.
Giveaway ini bermula pada 18 hingga 31 Disember 2024. Penyertaan ini diharapkan sebagai tanda sokongan untuk blogger Fairus Mamat untuk terus menulis.

Kenapa saya suka mengunjungi blog FAIRUS BUAT GIVEAWAY:

  • Sebab beliau selalu ke blog LadyBird, ia merupakan salah satu perkara yang menjadikan Ladybird semakin rajin untuk menulis dan akan selalu ke blog beliau.
  • Beliau suka join giveaway rakan2 blogger.. menjadikan beliau disenangi oleh blogger2. Mewujudkan saling kaitan antara satu sama lain (membina hubungan silaturrahim)
  • Beliau orang Melaka atau tinggal di Melaka, Melaka ni tempat favourite Lady, Lady selalu berkunjung ke sini (Pantai Mengkebang, dan Lady selalu ke rumah saudara Lady berhampiran Planetarium al-Khawarizmi. 
  • Beliau mengingatkan Lady kehidupan zaman pelajar dulu, stay di Melaka, bermain dengan kawan2, mandi laut, naik motor ramai2 sambil lambai2 pada pakcik nelayan yg mesra sangat2. Tunggu perahu nelayan naik, kutip ikan.. naik atas bot nelayan yg pakcik tu sdg kutip ikan. Makcik tegur nnti pakcik marah, tp pakcik x marah pun :P)
  • Banyak lagi lah kenangan bila berkunjung ke Blog si Fairus ni.. nanti panjang pula nak menulis kalau dikarang2.. cari cerpen kan :D hihi
  • Yang pastri entry beliau dekat di hati seolah2 beliau ni sahabat lady di dunia realiti.
  • Ok, done.
Terima kasih.

Adik Kakak


Duhai anak, sewaktu kalian kecil.. kemana manapun kami bawa.. di situ ada kami, di situ ada kalian. 

Sesukar manapun abi handle ibu yang berkerusi roda, kami tetap mengusung kalian berdua. 

Semenjak dari kakak bayi, sehingga besar.. berganti adik pula di ribaan.. dan sekarang adik juga sudah boleh nenolak kerusi roda ibu.. Kalian kami bawa bersama. Bukan kerana terpaksa tetapi atas dasar cinta.


Walaupun betapa hebatnya kalian bertengkar sepanjang perjalanan kita, betapa peritnya hati abi dan ibu menahan jiwa untuk tetap sampai ke destinasi bersama dengan gembira.


Walaupun betapa beratnya dugaan untuk kami dalam membesarkan kalian berdua, tetapi kami tetap cuba lakukan yang terbaik.

Kalian perlu ingat, bila besar nanti jangan sesekali tinggalkan abi dan ibu hanya demi kepentingan kehidupan kalian.

Kakak jangan sesekali tinggalkan adik walau seteruk manapun pergaduhan kalian. Adik perlu jaga kakak walau ape jua sikap kakak pada adik. Semat dalam hati kalian.

Walaupun kakak dan adik dari perut ibu yang sama, tetapi kalian mempunyai identiti dan sikap yang berbeza. Saling berdamailah duhai kalian.


Semoga kalian membesar dengan sihat. Bahagia dengan corak kehidupan masing2. Sentiasa kental dalam menempuhi ujianNya. Sabar dan redho, saling melengkapi. InsyaAllah bahagia dunia dan akhirat. Ameeeennn

Majlis Solat Hajat Dan Bacaan Yasin SKDB

 29 DISEMBER 2024 

Alhamdulillah selesai sudah majlis solat hajat dan bacaan yaasin utk pelajar UPKK 2024.

Semoga usaha kita dirahmati dan calon UPKK 2024 akan mendapat kejayaan cemerlang dengan izinNya..

Ameeennn..








Gambar Ehsan Cikgu2 SKDB

Jumaat, 27 Disember 2024

Combi, Si Peneman Setia


Hidup dalam kenangan itu indah, terutama kenangan bersama penghuni rahim pertama ibu dan peneman setia ibu di rumah pertama kita.

Ketika ibu mula tinggal di rumah TokMa, ibu hanya ada Combi. Dia seekor kucing gadis sunti yang garang, tetapi sangat manja dan setia. 

Abi sering sibuk bekerja, dan di saat ibu sunyi, Combi sentiasa di sisi. Dia akan mengusap manja badannya pada ibu, seolah-olah memahami setiap rasa yang ibu alami. 

Ketika ibu bersedih, Combi akan mendekat, matanya yang sayu memandang penuh simpati. Bila ibu gembira, dia akan melompat-lompat ceria, turut merasai kegembiraan ibu.

Setiap hari, Combi adalah teman bicara ibu, walaupun dia hanya menjawab dengan bunyi “meow” yang lemah lembut. 

Kadang-kadang ibu tertawa sendiri melihat gelagatnya. Dia suka duduk di sisi ibu, setia mendengar cerita-cerita ibu tentang masa depan, tentang mimpi-mimpi yang ibu dan abi bina untuk kita semua.

Kemudian, kakak lahir. Kehadiran kakak membawa sinar baharu dalam hidup ibu. 

Namun, Combi tetap di sisi, seolah-olah menjadi pemerhati setia setiap detik kehidupan kita. 

Dia juga sedang menanti saat melahirkan anak-anaknya. Walaupun kini perhatian ibu banyak tertumpu pada kakak, Combi tidak pernah menjauh. Dia tetap setia menjadi pelengkap keluarga kecil kita.

Namun, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Beberapa tahun kemudian, Combi meninggalkan kita buat selama-lamanya. 

Dia pergi dengan tenang di rumah itu, rumah TokMa yang penuh dengan kenangan. Tempat dia pernah menjadi pelindung ibu di waktu sunyi, dan saksi kepada awal kehidupan ibu dan abi bersama kakak.

Tapi, rumah itu juga akhirnya menjadi sejarah. Ia dijilat api, hilang bersama memori-memori yang pernah kita bina di dalamnya. 

Namun, kenangan tentang Combi tetap tersemat dalam hati ibu. Combi bukan sekadar seekor kucing. Dia adalah peneman, pelindung, dan keluarga yang sentiasa ada, walaupun dalam saat-saat paling sukar.

Kini, bila ibu terkenang Combi, ibu tersenyum. Hidup dalam kenangan itu memang indah. 

Dan Combi akan sentiasa hidup dalam ingatan kita sebagai peneman setia, yang pernah mengisi hari-hari ibu dengan cinta dan kehangatan.

TAMAT


02/06/2024 : Rumah TokMa dijilat api.

Khamis, 26 Disember 2024

Rindu Rumah Kecil Itu

Gambar Ihsan Google

Ada waktunya, dalam sunyi malam atau kala hujan turun membasahi tanah, aku terkenang rumah kecil itu. Ingatan yang samar sahaja yang tinggal di peringkat usiaku sekarang.

Rumah yang kini hanya tinggal dalam ingatan, berdiri di bawah lembah hijau, di atas tanah sawah yang subur dan berlumpur. Setiap kali hujan, hanya air saujana mata memandang. Indah nian.


Rasanya seperti semalam aku masih berlari-lari kecil di jambatan kayu sempit itu, mendengar derai tawa adik-beradik, dan menghirup udara pagi yang dipenuhi bau segar embun dan tanah basah.


Rumah kecil kami, berdindingkan papan berlubang yang angin bebas menerobos masuk, bertiang pendek. Tersandar pada alam yang sederhana tetapi memukau. 


Ia bukan rumah besar, jauh sekali gah, tetapi cukup untuk kami sekeluarga berlindung daripada panas terik dan hujan lebat.


Di depannya, ada beranda kecil setinggi sepuluh kaki dari tanah, dibuat dari kayu-kayu sisa yang berlubang. Jika tersalah pijak, kaki akan terpelosok ke bawah.


Beranda itu, walaupun usang, adalah tempat kami berdiri setiap pagi, memandang dunia yang tak pernah berubah—sawah padi yang terbentang luas di hadapan, saujana hijau hingga ke kaki bukit megah di kejauhan. Bukit Besar.


Jalan kampung yang memisahkan rumah kami dari sawah itu lebarnya hanya sedepa tangan dewasa. Tidak banyak kenderaan yang lalu, hanya basikal tua atau kadangkala motosikal, dan suasana sekitarnya sering tenang. 


Pokok-pokok besar di kiri kanannya berdiri teguh, seakan-akan memayungi laluan itu, melindunginya dari panas matahari. Pokok-pokok buluh dan senduduk memagari sepanjang jalan.


Rumah kami seperti sebuah pulau kecil, terutama bila hujan turun tanpa henti. Air akan bertakung di sekelilingnya, separas pinggang orang dewasa menjadikan jambatan kayu yang Bak bina satu-satunya laluan keluar. 


Jambatan itu tidak lebar, hanya dua papan yang sempit, tetapi cukup untuk kami melangkah berhati-hati. Di kiri kanan jambatan, Bak tanam pokok tebu dan jagung. 


Bila tiba musimnya, kami akan memetik hasilnya bersama-sama. Aku masih ingat betapa manisnya tebu yang Bak hiris kecil-kecil, disuakan kepada kami dengan senyuman lelah tetapi puas. 


Kenikmatan tebu itu masih terasa sehingga sekarang. Berebut-rebut makan dengan KakHa dan KakNa. Adinda Ani masih di ribaan. Ingatan aku tentangnya sangatlah tipis.


Di sebelah kanan jambatan, ada telaga tua dengan pam air, tempat kami mandi dan menimba. Bersebelahan telaga itu, berdiri 'baloh padi' tempat Tokki, Bak, dan Poksumak menyimpan hasil padi dari bendang. 


Di bawah baloh, Tok memelihara beberapa itik air. Petang-petang, aku dan Kakna menggiring itik-itik itu kembali ke reban sambil menyanyi kecik.. ingat-ingat lupa aku tentang irama lagunya.. cuma bunyinya "gok gok gok gok gok gok..." sambil ketawa kecil melihat tingkah laku itik-itik yang berebut masuk ke reban.


KakNa mengepalai itik-itik ke reban sambil membawa sebesen makanan dan aku mengekori itik dari belakang sambil membawa "rebe" untuk memastikan semua itik beratur masuk ke reban.


Sebelah kiri jambatan pula, ada pangkin usang yang menjadi tempat bermain. Di pangkin itu, kami bersila, menyusun bunga-bunga yang Kakha tanam di sekelilingnya. Dan aku serta teman-teman suka kutip bunga untuk bermain masak-masak. 


Kakha suka bunga, dan aku tahu, dia menanamnya untuk membawa sedikit warna ke dunia kecil kami yang sederhana.


Indah. Tanaman bunga kami terus ke tanah atau dalam tin. Tiada lagi pasu, dan pokok-pokok bunga KakHa merimbun tumbuh dengan subur tanpa kekangan dari pasu.


Lebih jauh sedikit dari pangkin, ada busut tinggi, tempat kami bermain sembunyi-sembunyi. Di atas busut itu tumbuh pokok nyior, pokok dala, dan pokok bunga tanjung. 


Setiap pagi, aku dan Kakna mengutip bunga tanjung yang gugur, menggubahnya menjadi hiasan sanggul. Kadang-kadang kami berkongsi dengan TokTeh untuk disusup ke dalam sanggulnya yang kecil dan memutih. Wangi.


Aku selalu mengikat dan menyusun bunga-bunga yang dijalin ke rambut ekor kudaku, kadangkala aku membayangkan diriku seorang puteri, meskipun pakaian kami hanya baju lusuh dan kaki penuh lumpur.


Di belakang pangkin, ada bangsal tempat menyimpan kayu api. Kayu-kayu itu adalah nadi dapur kami, yang Che gunakan untuk memasak makanan yang sederhana tetapi cukup untuk mengisi perut kami yang sering lapar. 


Jika mahu makan ikan, kami turun ke bendang, menangkap ikan keli, ikan sepat, atau ikan haruan dengan tangan sendiri. Kadangkala, kami kutip ubi dan pucuk sayur dari semak berhampiran untuk melengkapkan hidangan. Telur itik, telur ayam juga kami kutip hasil 'pemberian' ayam dan 'itik belaan.


Kadang-kadang Che beli ikan dengan pengayuh basikal yang membawa pelbagai jenis lauk dan makanan yang kami panggil Pok E'ik.


Rumah kecil kami penuh dengan bunyi—kokok ayam di waktu pagi, suara itik di bawah baloh, dan tawa kami adik-beradik. Diselangi bunyi burung-burung dalam sangkar belaan Bak.


Di sekelilingnya pula, ada kucing-kucing liar yang selalu datang meminta makan, burung-burung kecil yang hinggap di dahan, dan angin lembut yang membawa aroma tanah sawah.


Kini, rumah itu telah tiada. Sawah telah bertukar menjadi kawasan perumahan, dan jalan kecil itu sudah melebar menjadi jalan besar. 


Setiap kali aku memandang ke laman, hanya memandang dengan hiba. Tiada lagi ketenangan di hati. Bangunan dibina tanpa ada nanti. Satu persatu sehingga tiada lagi kelihatan pokok-pokok menghijau. 


Tetapi dalam hatiku, rumah kecil itu tetap hidup, bersama kenangan indah yang menghidupkannya. Aku sering rindu pada waktu itu—masa di mana hidup serba sederhana, tetapi hati penuh dengan rasa cukup dan kasih sayang.


Aku rindu pada waktu kecilku. Rumah kecilku di lembah kenangan. Dan rindu itu, seperti jambatan kayu sempit yang Bak bina, menghubungkan aku dengan masa lalu yang tidak akan pernah kembali, tetapi akan sentiasa aku syukuri.


__


Inagatan ini sekitar usia aku lingkungan 3/4 tahun.. sangat sukar untuk mengimbau kembali. Kenangan ini masih kuat jika dibandingkan ingatan setelah aku sakit.


Selasa, 24 Disember 2024

Bagaimana Menarik Anak-Anak Mempelajari Sejarah

Menarik minat anak-anak untuk mempelajari sejarah memerlukan pendekatan kreatif dan menyeronokkan. 

Berikut adalah beberapa cara untuk menjadikan sejarah menarik:


1. Gunakan Cerita yang Menarik


Ceritakan sejarah seperti dongeng atau pengembaraan.

Fokus pada watak yang hebat, peristiwa mendebarkan, atau misteri sejarah.

Contohnya, kisah Hang Tuah, kejatuhan Melaka, atau pembinaan Piramid.


2. Bahan Visual dan Multimedia


Tonton filem atau dokumentari sejarah yang sesuai untuk usia mereka.

Gunakan video pendek, animasi, atau kartun sejarah di YouTube.

Contoh: “Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal” untuk kenalkan konsep sejarah.


3. Permainan Sejarah


Gunakan permainan papan seperti Timeline atau permainan video yang mengandungi unsur sejarah seperti Civilization.

Buat kuiz sejarah dengan hadiah kecil untuk menarik minat mereka.


4. Aktiviti Praktikal dan Interaktif


Buat projek seni seperti melukis peta lama, membuat model bangunan bersejarah, atau pakaian tradisional.

Berlakon watak sejarah dalam drama pendek di rumah.


5. Lawatan ke Tempat Bersejarah


Bawa mereka ke muzium, tapak sejarah, atau galeri seni.

Pastikan anda bercerita tentang tempat itu dengan cara yang menyeronokkan.


6. Buku atau Komik Sejarah


Cari buku bergambar atau komik sejarah yang mudah difahami dan menarik.

Contoh: Komik Siri Sejarah Dunia atau Kisah Tokoh Dunia.


7. Fokus pada Kisah yang Berkaitan dengan Mereka


Ceritakan sejarah yang ada kaitan dengan keluarga atau komuniti mereka.

Contoh: “Nenek kita dulu hidup zaman penjajahan. Tahu tak apa maksud penjajahan?”


8. Gunakan Teknologi


Aplikasi seperti Google Earth untuk tunjukkan lokasi bersejarah.

Gunakan realiti maya (VR) untuk pengalaman seperti melawat zaman purba.


9. Berikan Ganjaran


Buat sistem ganjaran untuk pencapaian kecil, seperti memahami satu fakta sejarah baru setiap minggu.


10. Bersama-sama Belajar


Luangkan masa bersama membaca, menonton, atau berbincang tentang sejarah.

Tunjukkan minat anda supaya mereka terinspirasi.


Kuncinya adalah menjadikan pembelajaran pengalaman yang menyeronokkan, bukan beban. Anak-anak akan lebih mudah tertarik jika mereka melihat sejarah sebagai sesuatu yang hidup dan relevan.